GAS CO jejas kecekapan darah dalam mengangkut oksigen ke seluruh badan.
GAS CO jejas kecekapan darah dalam mengangkut oksigen ke seluruh badan.

Kuala Lumpur: Pengalaman pengsan di dalam bas ekspres akibat serangan asma yang dicetuskan oleh gas karbon monoksida (CO) apabila kenderaan itu terperangkap dalam kesesakan, membuatkan Siti Suriani Ahmad serik menaiki pengangkutan awam.

"Saya tidak boleh berada di dalam kenderaan melebihi tiga jam. Kalau saya memandu sekalipun saya akan berhenti rehat setiap dua jam sebelum teruskan pemanduan," kongsi pegawai bank berusia 32 tahun itu kepada Bernama.

Bercerita tentang insiden yang berlaku pada Januari lalu, Siti Suriani berkata, ketika itu bas ekspres yang dinaikinya dari ibu kota ke Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan selama tiga jam apabila dia tiba-tiba mengalami sesak nafas.

"Ketika itu kami berdekatan Ipoh. Alat sedut saya tidak berfungsi dan tingkap bas pula tidak boleh dibuka. Saya tercungap-cungap sebelum muntah-muntah dan kemudian pengsan," katanya, menambah bas itu kemudian berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan dia digegaskan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh oleh orang awam.

Menurut Siti Suriani, dia dirawat di hospital itu selama dua hari akibat menyedut secara berlebihan wasap mengandungi CO yang dilepaskan oleh bas ekspres yang dinaikinya.

Dia juga terpaksa berpindah dari Shah Alam ke Subang Jaya, Selangor pada April lalu, selepas dinasihati oleh doktor agar berbuat demikian berikutan keadaan asmanya bertambah teruk. Rumah lamanya terletak berhampiran kawasan perindustrian.

"Masalah saya belum berakhir kerana sejak Mei lalu saya terpaksa bekerja dari rumah akibat masalah jerebu yang melanda baru-baru ini," ujarnya.

Mungkin ada yang melihat masalah kesihatan Siti Suriani ini adalah penyakit biasa dan boleh dirawati, namun data Pertubuhan Kesihatan Sedunia merekodkan asma sebagai antara penyakit tidak berjangkit (NCD) utama yang menjejaskan kira-kira 262 juta penduduk global dan mengakibatkan lebih 45,000 kematian pada 2019.

Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Dalaman Hospital Columbia Puchong Dr Jurina Mohd Hassan berkata, di Malaysia prevalens asma dalam kalangan penduduk dewasa ialah 3.4 hingga 7.5 peratus.

"Penghidap asma berisiko tinggi apabila menghela zarah-zarah halus yang boleh memburukkan lagi masalah asma. Sama ada terdedah sekejap atau jangka panjang, kedua-dua keadaan itu boleh menimbulkan masalah kesihatan seperti melemahkan fungsi paru-paru dan mencetuskan serangan asma yang lebih kerap.

"Di peringkat global, hampir dua juta kes baharu asma pediatrik dilaporkan pada 2022 yang berpunca daripada pencemaran udara berkaitan trafik, terutama kenderaan yang menggunakan bahan api fosil yang digunakan secara meluas di kota-kota besar di seluruh dunia," katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Beliau berkata, kesan kesihatan jangka panjang yang dialami oleh penghidap asma akibat pencemaran udara khususnya CO, termasuk penyakit jantung, kanser paru-paru dan penyakit berkaitan respiratori seperti emfisema.

"Selain itu, keterdedahan kepada pencemaran udara juga boleh mengakibatkan kerosakan jangka panjang pada saraf, otak, buah pinggang, hati dan organ-organ lain manusia. Sesetengah saintis turut mengesyaki pencemaran udara penyebab kecacatan lahir.

"Saya sendiri, sepanjang karier sebagai pengamal perubatan, menyaksikan peningkatan ketara kes asma dalam kalangan penduduk bandar yang bertambah teruk semasa jerebu," katanya.

Menurut beliau, jerebu juga didapati mempunyai kesan segera dan tertangguh terhadap mortaliti dengan lebih 10,000 kes mortaliti respiratori dilaporkan di seluruh dunia sepanjang keseluruhan 88 hari jerebu yang berlaku dalam tempoh 2000 hingga 2007.

"Sekalipun ada peningkatan dari segi bukti bahawa pencemaran udara menjejaskan kesihatan manusia, tidak banyak kajian di Malaysia yang memfokuskan pada asma atau penyakit respiratori," katanya.

Dalam laporan mereka pada 2020, Greenpeace Asia Tenggara dan Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) menganggarkan kos global pencemaran udara disebabkan oleh bahan api fosil sekitar AS$8 bilion (RM36.45 bilion) sehari atau kira-kira 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

Menurut laporan itu lagi, pencemaran udara daripada pembakaran bahan api fosil, terutamanya arang batu, minyak dan gas yang kebanyakannya daripada kenderaan, perindustrian dan pembakaran terbuka, adalah penyumbang kepada kira-kira 4.5 juta kematian sebelum usia sepatutnya di seluruh dunia saban tahun, iaitu tiga kali ganda berbanding kematian akibat kemalangan jalan raya.

Selain itu, turut dinyatakan keterdedahan kepada PM2.5 (pecahan zarah halus) adalah penyebab sejumlah 1.8 bilion hari cuti sakit yang diambil oleh tenaga kerja di seluruh dunia saban tahun.

Bersetuju dengan laporan itu, pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata, apabila bahan api fosil seperti petrol, gas atau arang batu dibakar tidak sempurna, akan terhasil gas tidak berwarna dan tidak berbau iaitu CO.

"Kebanyakan gas ini dibebaskan daripada kenderaan dan berbahaya kerana boleh memasuki tubuh manusia melalui sistem respiratori. Bagi pesakit asma, mereka lebih berisiko terkena serangan jika berada terlalu lama di dalam kenderaan.

"Apabila memasuki tubuh, gas CO akan bersaing dengan oksigen untuk bergabung dengan hemoglobin dalam sel darah merah kita, menjejaskan kecekapan darah dalam mengangkut oksigen ke seluruh tubuh, terutama otak," jelasnya.

"Jika paras CO dalam darah adalah tinggi, organ dan tisu tubuh mungkin tidak dapat menerima oksigen yang cukup untuk berfungsi dengan baik, sekali gus berpotensi menyebabkan masalah kesihatan yang serius, termasuk kerosakan otak dan organ dalaman yang lain," tambah Shahrul.

Amnya kata beliau, enjin kenderaan menghasilkan lebih 30,000 ppm CO dalam saluran ekzos sebelum gas itu diubah kepada bahan bukan toksik dan dikeluarkan menerusi bukaan ekzos.

"Namun, bahaya berlaku apabila ada kebocoran sistem ekzos sebelum pemangkinan CO ini berlaku, dan gas itu memasuki ke dalam kabin kenderaan menerusi bukaan pada kenderaan dan juga tingkap yang terbuka," jelas beliau.

Kira-kira tiga tahun lalu, negara dikejutkan oleh insiden keracunan CO membabitkan empat pelajar perempuan berusia 21 tahun yang berlaku di sebuah stesen minyak. Mereka yang dalam perjalanan pulang daripada bercuti di Pulau Jerejak, berhenti rehat dan tertidur di dalam kenderaan dengan keadaan pendingin hawa dan enjin dihidupkan, sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam.

Seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi semasa dalam perjalanan ke hospital, manakala dua lagi yang merupakan pasangan kembar, menjalani rawatan hiperbarik namun hanya seorang terselamat.

Dalam keadaan dunia masih bergelut untuk menangani masalah pencemaran udara ini, mereka yang berisiko tidak mempunyai pilihan selain mengubah cara hidup sekiranya tidak mahu kesihatan mereka terjejas.

Buat penghidap asma, Dr Jurina menasihati mereka agar mengehadkan masa di luar rumah jika indeks pencemaran udara menunjukkan angka yang tinggi, terutama dalam tempoh 11 pagi hingga 8 malam.

"Selain itu, pesakit juga harus pastikan mereka berada di dalam ruang yang mempunyai sistem pengalihan udara yang baik. Elak bersenam di luar rumah, terutama bagi mereka yang tinggal berdekatan kawasan perindustrian atau berhampiran jalan raya yang sibuk dan sentiasa sesak," ujar beliau.

Shahrul pula menyarankan masyarakat membeli alat pengesan gas CO untuk dipasang di dalam kenderaan, kediaman dan juga tempat lain yang mungkin terdedah kepada gas berkenaan.

"Disebabkan oleh CO tidak berwarna dan tidak berbau, maka kehadiran gas itu sukar dikesan. Alat ini dapat memberi amaran kepada kita, sekali gus mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku, terutama bagi penghidap penyakit berkaitan respiratori," katanya.

Selain itu, alat tersebut juga dapat membantu orang ramai memantau kualiti udara di sekeliling mereka.

"Sekarang kita ada aplikasi mudah alih yang berintegrasi dengan IoT (Internet Benda) dan boleh berperanan sebagai amaran awal," katanya menambah, pihak beliau juga telah membangunkan Indoor Sense menerusi kumpulan penyelidik UKM - Atmospheric Chemistry and Air Pollution Research Group - yang boleh dipasang di dalam semua jenis kenderaan dan kediaman.

"Sensor mesra pengguna ini membolehkan orang awam memainkan peranan yang lebih rapat dalam memantau kualiti udara di sekeliling mereka, meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang isu pencemaran udara, seterusnya mengambil langkah lebih proaktif," kata Shahrul.

Beliau juga melihat penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai antara langkah positif dalam mengurangkan kesan pencemaran udara terhadap kesihatan respiratori penduduk bandar.

"Walaupun Malaysia kini menggalakkan penggunaan EV, harganya masih terlalu mahal dan tidak semua orang mampu memilikinya. Jadi, jalan terbaik ialah memasang sensor pengesan CO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 7:05 AM