GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Secara tradisinya kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram adalah milik Parti Amanah Negara (Amanah), namun perkara itu akan diputuskan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu kemudian akan dibawa kepada Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai sudah diumumkan tarikh (oleh Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) semalam.

"Selalunya kita hormat keputusan lama. Itu kerusi Amanah," katanya ditemui media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Pulai kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, pada 9.23 malam 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.

Semalam, SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 9:34 PM