LAPORAN Terdahulu Harian Metro
LAPORAN Terdahulu Harian Metro
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Lelaki yang mendera isterinya sehingga mati di Sungai Long, di Kajang, pada 23 Julai lalu, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan, semalam, dalam usahanya menyembunyikan diri daripada pihak polis.

"Hasil risikan dilakukan, kami mendapat maklumat bahawa suspek berada di Johor sebelum serbuan dibuat bagi menahan lelaki berkenaan, semalam.

"Susulan itu, kami juga menjalankan beberapa siri serbuan dalam tempoh tangkapan dibuat termasuk merampas barang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki berkenaan ditahan polis di Johor kira-kira 7 malam tadi.

Sebelum ini, seorang wanita, Azween Noor Alias, 39, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta dekat Kajang, dipercayai akibat didera suaminya pada 23 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian pada 12.15 tengah malam.

Menurutnya, wanita berusia 39 tahun terbabit dihantar ke pusat perubatan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa dihantar oleh suaminya dan sebaik mendapat tahu isterinya disahkan sudah meninggal dunia, suspek bertindak menghilangkan diri.

Berita berkaitan

'Arwah tak pernah bercerita soal rumah tangganya'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 11:24 AM