Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI yang ditahan kerana disyaki mendera bayi teman wanitanya mengaku menggigit telinga, menghempas dan menumbuk bayi perempuan itu sehingga buah pinggangnya rosak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, suspek, 25, mengaku berbuat demikian hanya kerana tidak tahan dengan tangisan bayi berusia 10 bulan itu.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek berbohong berhubung kenyataannya yang memaklumkan bayi itu dan dua lagi anak teman wanitanya masing-masing berusia lima dan tiga tahun dijaga oleh pengasuh,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pemeriksaan doktor terhadap bayi berkenaan mendapati buah pinggang mangsa tidak dapat berfungsi akibat kecederaan dialami.

Manakala, pemeriksaan doktor

terhadap dua adik beradik mangsa mendapati terdapat kesan dera lama, katanya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan ibu mangsa sama ada dia turut terbabit dengan kejadian itu,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan wanita berusia 21 tahun dan teman lelakinya ditahan di dua lokasi berasingan di Kajang dan Ampang, Sabtu lalu selepas dipercayai mendera bayi berkenaan.

Pemeriksaan terhadap bayi itu mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian perut, belakang badan dan telinga, selain pendarahan pada kemaluan mangsa.

Berita berkaitan:

Wanita, teman lelaki disyaki dera bayi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 1:50 PM