foto hiasan.
foto hiasan.
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Pengguna yang singgah di 34 kawasan rehat dan rawat (R&R) di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan merasai bahang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 yang diserikan pelbagai hiasan menarik bertemakan kemerdekaan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, inisiatif itu bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan pertandingan R&R berhias terbaik yang bertemakan 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' anjuran PLUS.

"Ia bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuhkan perpaduan, selari dengan konsep Malaysia Madani, dalam kalangan pengguna lebuh raya di kawasan rehat di semua rangkaian Lebuhraya PLUS.

"Sebanyak 34 R&R termasuk hentian sebelah dan restoran jejantas sepanjang Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

"Dalam pertandingan yang dianjurkan sejak 2000 itu, setiap R&R yang bertanding akan dihias mengikut kreativiti rakan niaga PLUS dengan menggunakan bahan yang dikitar semula," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Nik Airina, pertandingan itu akan berlangsung sehingga 16 September depan dan juara bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

"Manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,000.

"Pemenang tempat keempat pula membawa pulang wang tunai RM5,000, tempat kelima RM4,000 dan RM2,000 untuk yang memenangi Anugerah Khas Juri," katanya.

Katanya, selain pertandingan R&R berhias, PLUS turut menganjurkan Peraduan Insta Foto #KibaranMalaysiaKuGemilang menerusi laman sosial Instagram @PLUS_Malaysia sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Menurut Nik Airina, peraduan itu bertujuan mengajak orang ramai untuk memuat naik gambar atau swafoto paling menarik bersama Jalur Gemilang atau hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di mana-mana lokasi yang selamat sepanjang Lebuhraya PLUS dan LPT2 berserta kapysen menarik berkaitan tema kemerdekaan.

"Pemenang peraduan InstaFoto PLUS berpeluang membawa pulang hadiah utama Apple Watch Series 8 dan lima hadiah saguhati berupa Airpods (generasi ketiga) jenama Apple dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM6,500," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 3:40 PM