PESERTA QMEPWK66 sudah menempuh perjalanan sejauh 329 kilometer (km). FOTO Effendy Rashid
PESERTA QMEPWK66 sudah menempuh perjalanan sejauh 329 kilometer (km). FOTO Effendy Rashid
Effendy Rashid


Tabriz, Iran: Peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) diuji sekali lagi apabila terpaksa 'menghabiskan' masa lebih empat jam di pintu sempadan Iran bagi tujuan pemeriksaan dan dokumentasi pihak berkuasa.

Enam penunggang motosikal berkuasa tinggi itu tiba di destinasi ke-15 di Tabriz selepas menempuh perjalanan sejauh 329 kilometer (km) dari Van, Turkiye.

Ketua ekspedisi, Arep Kulal berkata, walaupun berdepan cabaran di pintu sempadan Iran dan terpaksa menunggu lama, namun pihaknya bersyukur kerana akhirnya mereka semua berjaya melepasi pemeriksaan.

Beliau berkata, mereka bernasib baik kerana menerima bantuan daripada pemandu pelancong Iran semasa menyelesaikan urusan di sempadan negara itu.

"Berurusan dengan pihak berkuasa di sempadan antara cabaran yang kami terpaksa lalui dari segi masa," katanya.

Misi QMEPWK66 yang kini memasuki hari ke-25, menempuh perjalanan melalui pergunungan setinggi 2,800 meter dari aras laut untuk ke Iran.

Bermula 20 Jun lalu, semua peserta yang menunggang dari London dijangka mengambil masa selama 66 hari dengan merentasi 16 negara, meliputi perjalanan sejauh lebih 22,000 kilometer (km) sebelum tiba di tanah air, 31 Ogos nanti.

QMEPWK66 dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd manakala Quantum Metal Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama manakala GB13, KMF Network serta Bullion Suceess Group adalah penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 4:34 PM