JURUTERBANG jet Sukhoi tentera Indonesia.
JURUTERBANG jet Sukhoi tentera Indonesia.

Jakarta: Tentera Indonesia sudah siap menempatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi di Tarakan, Kalimantan Utara, bersempadan dengan Malaysia.

Keempat-empat pesawat buatan Russia jenis SU-27 SKM dan SU-30 MK2 sebahagian daripada Skuadron 11 Tentera Udara Indonesia yang berpangkalan di Makassar, Sulawesi Selatan.

Komandan pangkalan udara berkenaan, Leftenan Kolonel Tiopan Hutapea berkata, keempat-empat pesawat itu menunjukkan kemampuan terbang di ruang udara di perbatasan Indonesia-Malaysia itu sejak kelmarin.

Menurutnya, langkah menempatkan jet penggempur di Kalimantan Utara itu ialah sebahagian usaha kerajaan Indonesia mengawal kedaulatan negara itu.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini mendakwa ruang udaranya sering diceroboh pesawat Malaysia.

“Kami sudah siap mengusir pesawat asing yang memasuki sempadan negara ini secara haram. Kami tidak mahu ada pihak yang mengintip kami dari udara,” katanya.

Tentera Indonesia mendakwa, berdasarkan rekod yang dicatatkan radarnya, pesawat Malaysia menceroboh sempadan negara itu puluhan kali sepanjang tahun ini, kononnya untuk memantau Ambalat, wilayah yang menjadi pertikaian kedua-dua negara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 7:32 AM