YONG Teck Lee. FOTO arkib NSTP
YONG Teck Lee. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) menyarankan agar Wisma Putra memberikan taklimat dan penjelasan secara terperinci kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berhubung isu triti Laut Sulawesi antara Malaysia-Indonesia.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata, perkara itu perlu dilakukan susulan kenyataan Adun Tungku, Assaffal Alian kononnya kerajaan Persekutuan menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia, baru-baru ini.

Katanya, media melaporkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menjelaskan semua rundingan membabitkan sempadan maritim negara dan ditandatangani pada 8 Jun lalu ketika lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo dibuat secara bersama dengan kerajaan Sabah.

"Sama seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memberi taklimat kepada Adun Sabah mengenai kes timbang tara tuntutan Sulu.

"Wisma Putra juga harus segera memberi taklimat kepada Adun Sabah mengenai isu Laut Sulawesi dan Ambalat.

"Saya berharap kerajaan memahami mengapa rakyat Sabah begitu skeptikal dengan pengumuman dari kerajaan Persekutuan kerana isu sebelum ini iaitu kehilangan medan minyak di wilayah maritim Blok L dan M seluas dua juta ekar kepada negara jiran lain pada 2010.

"Pada masa itu, media Malaysia melaporkan bahawa penyelesaian isu L dan M adalah sebagai pertukaran untuk Brunei menyelesaikan 'Tuntutan Limbang' (di Sarawak) tetapi penegasan ini kemudiannya dinafikan oleh negara Brunei," katanya dalam kenyataan media semalam.

Yong turut menegaskan rakyat Sabah mahukan pengesahan fakta dan kebenaran daripada hanya menerima apa saja kenyataan rasmi daripada kerajaan.

Semalam, media melaporkan Wisma Putra menyifatkan dakwaan Assafal ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung isu Ambalat adalah fitnah dan mengelirukan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 10:54 AM