GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang berpangkalan di Singapura mengesan 77 titik panas kebakaran di Sarawak bagi tempoh antara 1 hingga 15 Ogos lepas, dengan bilangan titik panas tertinggi direkodkan sebanyak 36 pada 1 Ogos.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata, bagi tempoh sama, 2,153 titik panas turut dikesan di Kalimantan dengan bilangan tertinggi pada 5 Ogos iaitu sebanyak 376 titik panas.

"Pada tempoh 13-15 Ogos, tiada titik panas dikesan di Sarawak, manakala 424 titik panas dikesan di Kalimantan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata ASMC turut melaporkan sejumlah 195 titik panas dikesan di negeri ini dan 2,820 di Kalimantan, Indonesia bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh antara Januari hingga setakat 8 pagi semalam, trend Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak adalah dalam lingkungan tahap baik sehingga sederhana dengan tiada bacaan tidak sihat direkodkan.

"Berdasarkan tinjauan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 26 Julai, negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula pada 15 Mei lepas dan dijangkakan berakhir pada pertengahan September ini," katanya.

Hazland berkata, angin dengan kelembapan udara yang lebih rendah lazimnya bertiup secara konsisten dari arah barat daya semasa fasa MBD ini yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

Katanya, ASMC meramalkan keadaan kering akan berterusan di wilayah berdekatan seperti di bahagian selatan dan tengah Kalimantan yang mengakibatkan risiko peningkatan titik panas dan asap jerebu di kawasan mudah terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 10:47 AM