PETA yang dipaparkan di laman web
PETA yang dipaparkan di laman web
Mohd Roji Kawi

Kuching: Titik panas dipercayai akibat pembakaran terbuka yang dikesan di wilayah Kalimantan Barat dipercayai punca keadaan berjerebu mula melanda Sarawak hari ini.

Berdasarkan maklumat di laman web ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) terdapat puluhan tompok panas dikesan di wilayah berkenaan khususnya berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia.

Keadaan itu dikenal pasti menyebabkan satu lokasi di Sarawak iaitu Sri Aman mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sejak awal pagi tadi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan situasi sebenar yang menyebabkan peningkatan IPU di Sri Aman.

Berdasarkan maklumat di laman web JAS, sehingga jam 3 petang hari ini, bacaan IPU di Sri Aman terus meningkat dan mencapai tahap 154.

IPU di daerah itu mula mencapai tahap tidak sihat selepas bacaan mencecah 105 pada jam 1 pagi.

Daerah lain di Sarawak masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana sehingga jam 3 petang dengan Kuching 64, Samarahan (66), Serian (81), Sibu (59), Mukah (52), Bintulu (59), Miri (53) dan Limbang (55).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 3:52 PM