Anthony Loke (kanan) pada sidang media pengumuman calon-calon Pilihan Raya Negeri ke-15 bagi negeri Selangor di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew hari ini. FOTO BERNAMA
Anthony Loke (kanan) pada sidang media pengumuman calon-calon Pilihan Raya Negeri ke-15 bagi negeri Selangor di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Seramai 15 calon akan bertanding mewakili DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu merangkumi 40 peratus atau enam calon muka baharu manakala bakinya penyandang kerusi.

Katanya, lima atau 33.33 peratus calon diketengahkan DAP berusia kurang 40 tahun manakala bakinya berusia 40 tahun ke atas dengan purata umur keseluruhan calon adalah 43.6 tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, lima daripada 15 calon terdiri daripada wanita manakala 10 lagi lelaki.

"Ng Suee Lim akan kekal mempertahankan kerusi Sekinchan manakala Lee Kee Hiong kekal di Dun Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han (Kinrara), Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Leong Tuck Chee (Pandamaran).

"Penyandang Dun Balakong Wong Siew Ki bagaimanapun akan bertanding di Seri Kembangan," katanya pada sidang media Pengumuman Calon DAP bagi PRN Selangor, di sini, hari ini.

Muka baharu yang dicalonkan DAP ialah Yew Jia Haur (Teratai), Ong Chun Wei (Balakong), Quah Perng Fei (Bandar Baru Klang), Preakas Sampunathan (Kota Kemuning), Papparaidu Veraman (Banting) dan Lwi Kian Keong (Sungai Pelek).

"Keseluruhan calon ini ada kombinasi gender, tempatan, berpengalaman dan baharu dengan semua pertimbangan berkenaan diambil kira kerana kita mahu meletakkan calon yang dapat memastikan kemenangan di semua kerusi ditandingi DAP.

"Kita tahu PRN kali ini akan hadapi persaingan sengit, namun pelbagai pertimbangan dan keputusan dibuat bagi memastikan semua calon mampu meyakinkan pengundi serta menyatupadukan jentera parti bersama Pakatan Harapan (PH) untuk bergerak sebagai pasukan yang kuat," katanya.

Mengulas polemik kerusi Dun Dusun Tua, Loke berkata, DAP menetapkan syarat pelantikan Yang Dipertua Dun Selangor dibuat bukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) jika mahu parti itu melepaskan kerusi berkenaan.

Katanya, DAP diminta melepaskan Dun Dusun Tua bagi memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan syarat berkenaan dikemukakan dan dipersetujui Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"DAP sebelum ini ada 16 Adun dan salah seorang daripada mereka akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dun Selangor, tetapi kali ini kita diminta memberi laluan (di DUN Dusun Tua) dengan ia bukanlah pertukaran antara kerusi.

"Justeru, menerusi formula dimuktamadkan Anwar, DAP hanya bertanding di 15 kerusi dan kita cadangkan jawatan Yang Dipertua Dun Selangor kekal (bagi DAP) serta pelantikannya dibuat bukan dalam kalangan Adun," katanya.

Dalam pada itu, Loke merakamkan penghargaan kepada penyandang Dun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, Lou Weng San (Banting) dan Datuk Teng Chang Khim (Bandar Baru Klang) kerana memberi laluan kepada calon muka baharu.

Beliau menyifatkan kesediaan ketiga-tiga penyandang berkenaan sebagai semangat penting ditonjolkan bagi membolehkan DAP terus maju sekali gus memberi laluan kepada proses peremajaan parti.

"Hian Wah akan ditugaskan di peringkat Persekutuan dan saya sudah mencadangkan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang manakala Weng San sebagai Yang Dipertua Dun Selangor jika PH-BN menerajui kerajaan negeri," katanya.

Senarai Calon DAP bagi DUN Selangor:
N04 Sekinchan - Ng Suee Lim
N06 Kuala Kubu Baharu - Lee Kee Hiong
N22 Teratai - Yew Jia Haur
N27 Balakong - Ong Chun Wei
N28 Seri Kembangan - Wong Siew Ki
N30 Kinrara - Ng Sze Han
N31 Subang Jaya - Michelle Ng Mei Sze
N34 Bukit Gasing - Rajiv Rishyakaran
N35 Kampung Tunku - Lim Yi Wei
N36 Bandar Utama - Jamaliah Jamaluddin
N45 Bandar Baru Klang - Quah Perng Fei
N47 Pandamaran - Leong Tuck Chee
N50 Kota Kemuning - Preakas Sampunathan
N52 Banting - Papparaidu Veraman
N56 Sungai Pelek - Lwi Kian Keong

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:36 PM