Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bakal bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan sekali gus tidak mempertahankan Parlimen Tanjong yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Pengerusi DAP negeri itu memberi laluan kepada Lim Hui Ying yang juga adik perempuan kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Kon Yeow yang menyandang kerusi itu bermula 1999 hingga 2013 pernah memberi laluan kepada Ng Wei Aik pada PRU-13 sebelum kembali bertanding di Parlimen Tanjong pada PRU-14.

Berdasarkan rekod, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa kepada Guan Eng dan Hui Ying pernah memenangi ke

rusi Parlimen Tanjong selama tiga penggal berturut-turut sejak 1986.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan DAP kekal bertanding sebanyak tujuh kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU-15.

Menurutnya, calon-calon sudah melalui proses pemilihan secara konsensus atau persetujuan bersama oleh Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dan diterima sebulat suara pada peringkat Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Pusat.

"Jadi saya nak sebut bahawa senarai calon yang kita umum ini adalah satu pasukan yang telah dipersetujui secara konsensus pada peringkat negeri dan pusat .

"Justeru, tidak ada sebarang pertikaian, tidak ada sebarang isu apabila saya umumkan calon, saya mahu setiap anggota, setiap ahli DAP menyokong dan mendukung penuh calon kita.

"Tidak ada persoalan sebab ini telah dicapai secara konsensus," katanya pada majlis pelancaran Konvoi Harapan PRU-15, di sini, hari ini.

Calon-calon lain yang diumumkan adalah penyandang kerusi asal terdiri daripada Parlimen Bagan, Guan Eng; Bukit Mertajam, Steven Sim; Jelutong, RSN Rayer dan Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Loke turut mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai memberi laluan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid sebagai calon muka baharu kawasan berkenaan.

Syerleena adalah calon wanita Melayu kedua DAP diumumkan bertanding di kerusi parlimen selepas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ketari, Young Syefura Othman bakal bertanding di Parlimen Bentong pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 3:08 PM