Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menilai dan menambah baik semua program pendidikan yang ditawarkan selari dengan peredaran masa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk kolaborasi bersama badan pentauliahan profesional serta syarikat multinasional dalam dan luar negara serta mengkaji semula silibus pembelajaran yang lebih sesuai dengan dunia sekarang.

"Kita percaya keupayaan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan adalah prasyarat utama kepada kejayaan memajukan negara dan pada masa sama membina peradaban negara bangsa.

"Justeru, saya memberi jaminan akan menyokong sepenuhnya segala bentuk penambahbaikan atau pun pembaharuan demi kelangsungan anak bangsa yang seterusnya akan memacu arus kemajuan negara kelak," katanya ketika berucap sempena pembukaan sidang pertama Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan Mara (IPMA) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Seramai 12,142 graduan diraikan dalam majlis konvokesyen berlangsung selama lima hari sehingga 10 Mac ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, program pembudayaan dan pembangunan usahawan turut dilaksanakan di IPMA.

"Program ini perlu ditambah baik dan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai pelajar MARA keluar sebagai usahawan berjaya.

"Kita perlu membangunkan budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda khususnya Bumiputera dan ia sangat penting bagi menjamin kemajuan bangsa dan negara dalam menghadapi cabaran era globalisasi kini," katanya.

Katanya, fokus perlu ditumpukan kepada usaha pembangunan usahawan, penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan yang seterusnya akan mencipta kekayaan untuk rakyat dan negara.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap bidang keusahawanan bukan lagi hanya bidang kerjaya pilihan tetapi mahu keusahawanan menjadi budaya masyarakat khususnya dalam kalangan Bumiputera.

"Mendepani perkara ini, MARA selaku agensi yang sememangnya sinonim dengan pembangunan usahawan seharusnya perlu melipatgandakan usaha dengan melahirkan usahawan dalam kalangan pelajarnya sendiri.

"MARA perlu menjadi pemandu kepada ekosistem keusahawanan," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pembukaan di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pembukaan di Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 di Dewan Merdeka, WTCKL. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 2:57 PM