AZHAR Abdul Manaf
AZHAR Abdul Manaf

Pelaksanaan model pendidikan keusahawanan, MARA Startup and Accelarator Edupreneur Model (MSEAD) di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) memberi impak positif kepada pelajar dan graduannya melalui penyelarasan lebih sistematik.

Malah, ia berupaya melahirkan graduan holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang dalam konteks Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 dan Pelan Strategik MARA.

Ketua Pengarah MARA Azhar Abdul Manaf berkata, pelaksanaannya dilakukan di semua IPMa secara bersepadu yang membabitkan sektor keusahawanan dan pelaburan.

“Usaha ini selaras dengan objektif kita untuk meningkatkan bilangan pelajar dan lepasan IPMa di bidang keusahawanan korporat, teknousahawan, usahawan peruncitan, usahawan pembuatan dan kontraktor berwibawa.

“Kita juga mahu menambah kapasiti usahawan daripada lepasan pelajar IPMa yang berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan melalui program peningkatan (Growth) dan pengembangan (Groom Big),” katanya.

Konsep utama yang diterapkan menerusi MSEAD, antaranya sinergi antara sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan bagi membentuk organisasi keusahawanan selain memenuhi keperluan industri dalam menentukan bidang baru yang boleh diceburi.

Ia memastikan bagi mendapat peluang lebih baik dalam pelaburan dan kurikulum yang bersifat futuristik, relevan dan terkini yang melangkaui entrepreneurial age.

Melalui fasa pendidikan menengah, pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan didedahkan dengan pembudayaan keusahawanan.

Pelajar dididik menjalankan perniagaan secara dalaman, diberi motivasi berniaga dan juga didedah simulasi pengurusan syarikat dan kewangan.

Bagi fasa tertiari, pelajar dari semua institusi pendidikan MARA (IPMa) yang tidak bertaraf universiti akan disaran menyelami dunia usahawan sebenar di mana program seperti menjalankan perniagaan ketika belajar, latihan industri bersama usahawan dan inkubator teknousahawan akan dijalankan bagi memastikan pelajar bersedia dengan dunia perniagaan sejurus tamat pengajian.

Antara program yang sudah dilaksanakan untuk fasa tertiari iaitu program Mobile Technical Services, Mobilepreneur, E-Usahawan, Sinergi Teknousahawan, Jaringan Usahawan Teknikal MARA (JUTA), Millionaire Hub dan Business Pitching.

Fasa universiti pula memberi fokus kepada graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan program Genesis di mana langkah pembudayaan, pengwujudan dan peningkatan dijalankan bagi membentuk usahawan yang lengkap daripada segi persediaan menghadapi dunia sebenar.

Antara program yang bakal dan sudah diadakan iaitu program Teknoputra, Nasi Lemak Teh O (NLTO), Student Entreprenuer Association (SEA), Business Pitching dan Entreprenuer Industrial Partnership (EIP).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 3:14 AM