Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membuat semakan semula terhadap skim gaji bagi pendidik Institusi Pendidikan Mara (IPMA).

Menurut beliau, walaupun skim gaji pendidik di institusi itu setara dengan pendidik di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun ada dalam kalangan mereka yang terpinggir.

"Saya memberikan komitmen pada hari ini, di sini, bahawa tolong lihat semula skim gaji kepada para pendidik.

"Saya tahu skema kita ini setara dengan skema pendidik di Kementerian Pendidikan. Tetapi ada yang terpinggir, ada yang terpencil," katanya ketika berucap di majlis Hari Anugerah Pendidik Mara di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Mara Datuk Seri Azhar Abdul Manaf.

AHMAD Zahid ketika berucap pada Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA 2023. FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid ketika berucap pada Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA 2023. FOTO BERNAMA

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, selagi beliau menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pihaknya komited untuk memperjuangkan nasib pendidik IPMA.

"Selagi saya berada di KKDW, saya komited untuk memperjuangkan nasib saudara-saudari.

"Saya berikan kebertanggungjawaban ini kepada Pengerusi Mara (Asyraf Wajdi). Pengerusi Mara akan membantu Menteri untuk memperjuangkan nasib saudara-saudari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 3:24 PM