Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus menunjukkan lokasi empat mayat kru kapal ditemui hari ini.  FOTO NADIM BOKHARI
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus menunjukkan lokasi empat mayat kru kapal ditemui hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Empat daripada lapan kru MV Tung Sung yang dilaporkan hilang selepas kapal kargo itu karam dan terbalik di perairan Pulau Burung, di sini, malam Rabu lalu ditemukan lemas, hari ini.

Kesemua mayat itu ditemui terapung oleh nelayan kira-kira 15 batu nautika dari Pulau Burung pada hari ketiga operasi pencarian dijalankan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, mayat pertama ditemukan pada jam 1.15 tengah hari, mayat kedua pada jam 1.30 tengah hari manakala mayat ketiga pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, aset Maritim Malaysia, KM Kinabalu dihantar ke lokasi bagi mengesahkan laporan nelayan itu seterusnya mengambil semua mayat berkenaan.

"Selepas menghantar kesemua mayat itu ke pangkalan hadapan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di jeti awam Sebuyau, KM Kinabalu kembali ke laut meneruskan pencarian.

"Usaha mereka berjaya menemui satu lagi mayat pada jam 5.20 petang, juga di lokasi berdekatan dengan tiga mayat yang ditemui sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahhuddin (KOMPTAS) di Muara Tebas, di sini, malam ini.

Zin Azman berkata, tiga darpada mayat itu sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut, manakala satu lagi mayat dijangka tiba di Kuching malam ini.

"Bagaimanapun, identiti semua empat mayat terbabit masih belum dikenalpasti," katanya.

Menurutnya, berikutan penemuan empat mayat hari ini, pihaknya yakin semua kru kapal terbabit lemas di lokasi berdekatan.

Sehubungan itu katanya, pencarian akan diperluaskan dengan tumpuan di sekitar kawasanempat mayat ditemui.

"Kita berpendapat mereka lemas ketika berlakunya kapal itu terbalik, selepas tiga hari mayat timbul.

"Pencarian seterusnya akan tertumpu di kawasan berdekatan kerana biasanya mayat tidak akan jauh sebab ianya bergerak arus pasang surut," katanya.

Dalam kejadian ketika ombak kuat dan angin kencang kira-kira 11 malam Rabu lalu, lapan kru berusia antara 20 hingga 52 tahun hilang dengan daripadanya ialah tiga warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Chuit.

Empat lagi adalah warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo manakala seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 8:57 PM