KAPAL kargo yang terbalik di perairan Sebuyau, Sarawak 22 Ogos lalu.
KAPAL kargo yang terbalik di perairan Sebuyau, Sarawak 22 Ogos lalu.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Identiti empat mayat yang ditemui terapung berdekatan Pulau Burung di Sebuyau, Sabtu lalu belum dikenal pasti.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk membuat pengesahan.

Bagaimanapun katanya, ia mengambil masa berikutan lima daripada lapan kru yang hilang dalam kejadian kapal kargo terbalik, malam Rabu lalu adalah warga asing.

"Malah kami juga tidak dapat mengesahkan sama ada tiga daripada empat mayat yang ditemui itu adalah warga tempatan.

"Ketika ini kami terus memfokuskan pencarian di sekitar lokasi kapal kargo itu terbalik," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) hari ini tertumpu di radius 22 baru nautika di barat laut Pulau Burung.

Sehingga 5 petang ini, tiada sebarang petunjuk ditemui, malah operasi berdepan kesukaran berikutan cuaca buruk.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam Rabu lalu, lapan kru kapal berusia antara 20 hingga 52 tahun hilang dengan tiga daripadanya warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Chuit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 7:01 PM