TANGKAP layar video tular di media sosial memaparkan tindakan biadap vokalis The 1975.
TANGKAP layar video tular di media sosial memaparkan tindakan biadap vokalis The 1975.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil pihak penganjur konsert kumpulan The 1975 susulan tindakan vokalisnya, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert di Good Vibes Festival 2023 berlangsung di Litar Antarbangsa Sepang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak penganjur akan dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu, petang ini.

"Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, susulan kejadian itu, pihak penganjur bertindak menghentikan persembahan kumpulan terbabit dengan segera.

"Berikutan ada penyanyi yang berkelakuan tidak senonoh (dalam konsert itu), pihak penganjur mengambil tindakan menghentikan persembahan mereka (kumpulan The 1975) dengan segera.

"Pihak penganjur juga akan dipanggil oleh pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut mengingatkan pihak penganjur serta artis bahawa mereka perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyifatkan perlakuan Matty dalam konsert itu sebagai biadap.

Malah, beliau memaklumkan akan memanggil penganjur konsert berkenaan untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Sebelum ini, konsert kumpulan itu dihentikan selepas Matty yang terkenal dengan aksi biadap menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.

Difahamkan ketika pertengahan persembahan, pentas tiba-tiba gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka disekat daripada meneruskan konsert berkenaan.

Insiden itu bukan kali pertama berlaku membabitkan perlakuan biadap Matty ketika konsert.

Ketika konsert di London, baru-baru ini, Matty dilaporkan memakan daging stik mentah membuatkan penonton berasa mual dengan aksinya itu.

Matty juga pernah mengaku menonton video lucah yang merendah-rendahkan kaum wanita sambil melakukan onani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 11:27 AM