Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Pendakwah bebas, Wan Junaidi Wan Jaafar, 54, diumum penerima anugerah Tokoh Dakwah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu.

Wan Junaidi berkata, anugerah yang diberikan adalah pengiktirafan besar kepada dirinya sejak membabitkan diri sebagai penceramah pada 2005.

"Saya sangat gembira atas anugerah yang diberikan ini dan ia sekaligus membangkitkan lagi semangat diri dalam bidang ini.

"Saya juga akan terus beri penekanan dalam membicarakan ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawwuf," katanya yang menerima wang tunai RM10,000 berserta sijil dan piala.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan tiga anakanda. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Wan Junaidi yang menetap di Kampung Seberang Baruh, di sini berkata beliau kini banyak menyampaikan ceramah agama di sekitar Negeri Terengganu dan tenaga pengajar kitab Turath bertauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (MAIDAM).

Turut menerima anugerah pada majlis itu adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairul Anuar Mohamad sebagai Tokoh Hafiz.

Timbalan Pengerusi Lajnah Tashih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri menerima wang tunai RM6,000 beserta sijil dan piala.

Anugerah Masjid Terbaik dimenangi Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus dan menerima wang tunai RM10,000 dan sijil dan Surau Ar- Rashidin, Wakaf Tembesu (RM4,000 dan sijil).

Anugerah Tokoh Saudara Kita, Dr Muhammad Irfan Nyia Abdullah dan Halimahtun Heng Abdullah (RM4,000 dan sijil); Keluarga Tunggal Mithali, Ismail Samad (RM10,000 dan sijil).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:33 PM
PENERIMA Anugerah Tokoh Dakwah, Wan Junaidi Wan Jaafar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini. FOTO GHAZALI KORI
PENERIMA Anugerah Tokoh Dakwah, Wan Junaidi Wan Jaafar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini. FOTO GHAZALI KORI