Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Ketua Pemuda Umno Ketereh Afiq Amani Annuar, akan berbincang dengan keluarga sekiranya namanya dicalonkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bersaing dengan bapanya, Tan Sri Annuar Musa.

Menyifatkan tujuan menjadi calon PRN tiada dalam fikirannya, Afiq Amani menegaskan, keputusan yang diambil nanti tidak boleh dibuat berseorangan.

"Sebenarnya, jadi calon (PRN) tiada dalam pemikiran saya kerana saya hanya berkhidmat selepas pegang jawatan (ketua pemuda).

"Tapi kalau perkara itu (jadi calon dan bersaing dengan bapa) berlaku, saya kena fikirkan, kena bincang dengan keluarga, saya ada isteri dan anak-anak, jadi keputusan itu tidak boleh dibuat saya seorang...jadi kita tunggulah masa itu (pengumuman calon)," katanya kepada media di sini, malam tadi.

Mengakui pengalamannya masih terlalu sedikit dalam arena politik, Afiq Amani berkata, jika Barisan Nasional (BN) serius untuk menang, masih ramai lagi calon yang layak.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan bagi memastikan parti itu mendapat kemenangan dalam PRN nanti.

"Saya kurang pengalaman, baru beberapa bulan jadi Ketua Pemuda Umno, banyak lagi kena belajar.

"Kalau serius nak menang, ramai lagi calon yang layak, terpulang kepada pucuk pimpinan, biar mereka putuskan apa yang terbaik untuk BN supaya boleh memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam PRN," katanya ditemui di perkarangan Pejabat Perhubungan Umno Negeri Kelantan selepas berucap dalam Pentas Pemuda Perpaduan Kelantan.

Ditanya berkaitan hubungan dengan bapanya yang juga bekas Setiausaha Agung Umno dan kini menjadi Pengerusi Muafakat Nasional, Afiq Amani berkata, mereka berdua sangat profesional dan masing-masing tahu perjuangan dalam parti.

Katanya, tidak berlaku sebarang perselisihan faham walau berbeza parti politik sebaliknya mereka kerap bercakap mengenai persamaan berbanding melihat kepada perbezaan perjuangan parti politik masing-masing.

"Saya selaku orang dewasa, dia pun hormat keputusan saya, dia sangat matang. Saya tahu perjuangan dia, dia pun tahu perjuangan saya jadi tiada masalah.

"Mungkin pergaduhan itu sebenarnya berlaku di pihak atasan, namun saya tidak terlibat di pihak atasan tapi saya tahu kami berdua mahu yang terbaik untuk Kelantan, Islam dan bangsa Melayu, rakyat Malaysia secara am," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 1:08 PM