Afiq Amani Annuar
Afiq Amani Annuar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh yang juga anak kepada Tan Sri Annuar Musa antara 155 nama yang dihantar kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, Afiq Amani Annuar dinamakan oleh Umno Ketereh untuk bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen berkenaan.

"Afiq Amani antara orang muda yang kita senaraikan nama, namun segala-galanya terserah kepada pucuk pimpinan parti yang memutuskannya kerana setiap Dun kita menyenaraikan lima nama.

"Nama calon setiap Dun dikemukakan oleh bahagian masing-masing yang mereka rasakan individu berkenaan layak dan menepati piawaian sebagai calon.

"Kita senaraikan nama berdasarkan kapasiti kebolehan selain penerimaan calon berkenaan di Dun masing-masing, bukannya disebabkan anak kepada sesiapa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya Afiq Amani tersenarai sebagai calon, terpulang kepada Annuar sama ada mahu 'menyembelih' anaknya sendiri.

"Alhamdulillah, proses pemilihan calon berjalan lancar dan kita yakin tiada unsur 'cah keting' dalam Umno selepas nama calon diumumkan nanti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Barisan Nasional (BN) Kelantan menghantar sebanyak 155 nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN.

Daripada jumlah berkenaan, BN Kelantan menampilkan 70 hingga 80 peratus sebagai calon muka baru dan bergantung kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 3:44 PM