Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. FOTO IHSAN PDRM
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Miri-Bintulu, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM709,651.58.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dilakukan oleh pegawai dan anggota Unit Risikan, Batalion 12 PGA berpangkalan di Miri yang sedang melaksanakan Op Taring Alpha.

"Dalam serbuan itu, polis merampas rokok putih pelbagai jenis iaitu 2,349 karton dianggarkan bernilai RM704,700 dan minuman keras pelbagai jenis bernilai RM4,951.58.

"Kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000, yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 4:28 PM