SEBAHAGIAN minuman keras yang berjaya dirampas PGA dalam Operasi Libas di Miri. FOTO Ihsan PGA.
SEBAHAGIAN minuman keras yang berjaya dirampas PGA dalam Operasi Libas di Miri. FOTO Ihsan PGA.
Garret Dawum


PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket pengedaran rokok dan minuman keras seludup bernilai RM551,150 menerusi Operasi Libas di tiga lokasi berasingan di Miri, semalam.

Pegawai Memerintah Batalion 12 PGA Superintendan Tan Hiap Seng berkata, operasi itu dijalankan cawangan risik di Batu Niah dan Lawas berdasarkan maklumat dan risikan.

“Dalam serbuan pertama pada 10 pagi terhadap sebuah kedai di Simpang Sepupok Batu Niah, menjumpai 179 karton rokok, 120 kotak bir dan 63 botol minuman keras pelbagai jenis dianggarkan RM40,850.

“Seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai penjaga premis ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan,” katanya pada sidang media di Miri, hari ini.

Tan berkata, serbuan kedua pada 11 pagi di sebuah bangunan tidak bernombor di Simpang Batu Niah pula menjumpai 1,670 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM317,300.

Beliau berkata, serbuan ketiga di sebuah rumah di Jalan Kampung Temagis Lawas pada 4 petang hari sama, merampas 20 kotak bir dan 1,000 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM193,000.

“Kesemua rokok serta minuman keras yang dirampas, belum lulus cukai dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:32 PM