ROKOK dan minuman keras pelbagai jenama belum lulus kastam yang dirampas pasukan PGA Miri dalam dua serbuan berasingan, semalam.
ROKOK dan minuman keras pelbagai jenama belum lulus kastam yang dirampas pasukan PGA Miri dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Erika George


Miri: Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM327,628 dalam dua serbuan berasingan semalam.

Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, serbuan pertama dijalankan Batalion 12 PGA Miri di sebuah kedai di Jalan Taman Ceria, Bandar Baru Permyjaya, Tudan jam 11 pagi.

Katanya, pegawai PGA memperkenalkan diri kepada pekerja kedai yang juga lelaki tempatan lalu menjalankan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 222,800 batang rokok putih, 15,160 batang rokok kretek termasuk 8,736 tin bir dan 336 botol bir yang dianggarkan bernilai RM236,681.20," katanya.

Menurutnya, serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah di kawasan Riverview Park Phase 4 di Jalan Lutong, Kuala Baram jam 1 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan menemui 10,296 batang rokok putih, 15,680 batang rokok kretek, 10,296 tin bir, 480 botol bir dan 24 botol arak pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM90,947.60 yang diletakkan pada parkir kenderaan kediaman berkenaan.

"Seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga rumah terbabit berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 4:48 PM