Wang dan antara minuman keras yang dirampas. FOTO MELVIN JONI
Wang dan antara minuman keras yang dirampas. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


TIDAK mahu dikenakan tindakan undang-undang kerana menyeludup minuman keras dan rokok, seorang penjaga stor cuba menawarkan wang sogokan RM20,000 kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata wang itu ditawarkan seorang lelaki yang ditahan ketika serbuan di Jalan Maigold, Golden Royal Villa, Senadin di Miri, semalam.

"Suspek berusia 30-an itu menawarkan wang sogokan berjumlah RM20,000 kepada pasukan serbuan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

"Walaupun diberikan amaran berulang kali, penjaga stor itu tetap menawarkan wang sogokan kepada pasukan serbuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Tan, dalam serbuan itu, PGA merampas 2,708 kotak minuman keras dalam tin, 348 kotak minuman keras dalam botol dan 128 kotak minuman keras pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM172,710 termasuk cukai.

Turut dirampas 750 karton rokok putih, 2,070 karton rokok kretek bernilai RM380,804 termasuk cukai yang disimpan dalam stor dan kenderaan jenis van di kawasan rumah terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata pasukan serbuan juga merampas sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM30,000, menjadikan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah RM603,514.

"Barang rampasan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 1:01 PM