BERSAMA mentor dan pegawai atasannya Asisten Ketua Staf Materiel, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Affenddy Suhaimi (duduk) dan Pengarah Pembangunan Materiel, Laksamana Pertama Azizi Ahmad Sarkawi (kiri).
BERSAMA mentor dan pegawai atasannya Asisten Ketua Staf Materiel, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Affenddy Suhaimi (duduk) dan Pengarah Pembangunan Materiel, Laksamana Pertama Azizi Ahmad Sarkawi (kiri).
Nurul Husna Mahmud


SATU lakaran sejarah sepanjang penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila Rohana Jupri, 57, pegawai wanita pertama dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama dalam pasukan tentera itu.

Sebelum ini belum ada dalam kalangan pegawai atau anggota wanita memegang jawatan berkenaan dalam TLDM dan biasanya didominasi kaum lelaki.

Bagi Rohana sendiri bukan sekali sebaliknya, beliau pernah melakar beberapa sejarah dalam TLDM termasuklah dilantik sebagai kapten wanita pertama pada 2017.

Penyandang jawatan Pengarah Kanan Materiel Markas Tentera Laut itu berharap lantikan berkenaan dapat 'membuka jalan' kepada lebih ramai pegawai mahupun anggota wanita membarisi jawatan tertinggi dalam TLDM.

"Kepercayaan Pengurusan Tertinggi dalam TLDM yang memberi pegawai wanita memegang jawatan kritikal adalah satu permulaan supaya lebih ramai wanita memperoleh peluang sama iaitu menjawat pegawai kanan dalam pasukan.

"Sebenarnya ramai pegawai dan anggota wanita mempunyai peranan penting sebagaimana anggota lelaki lain. Ada yang dihantar ke misi menyertai panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini satu penghormatan kepada wanita dalam TLDM apabila diberi peluang sama dengan pegawai dan anggota lelaki," katanya.

ROHANA memecah dominasi lelaki dalam senarai pegawai tertinggi menerusi lantikan Laksamana Pertama dalam TLDM.
ROHANA memecah dominasi lelaki dalam senarai pegawai tertinggi menerusi lantikan Laksamana Pertama dalam TLDM.

Menyentuh mengenai cabaran dan pengorbanan untuk sampai ke tahap itu, kata Rohana, sepanjang menyarung seragam itu selama 36 tahun, tiada misi ataupun tugasan pernah ditolak beliau.

"Sudah namanya menjadi seorang anggota tentera dan menyarung uniform TLDM, berjauhan dengan keluarga adalah lumrah hidup saya. Suami saya orang awam dan apabila diberikan tugasan atau diminta bertukar, kami terpaksa hidup berasingan seketika.

TURUT terbabit dalam Ops Benteng sebagai Asisten Ketua Staf Logistik (J4).
TURUT terbabit dalam Ops Benteng sebagai Asisten Ketua Staf Logistik (J4).

BERSAMA pegawai dan delegasi TLDM ke Wuhan, China.
BERSAMA pegawai dan delegasi TLDM ke Wuhan, China.

"Sebagai contoh apabila suami di Kuala Lumpur bersama seorang anak, saya pula 'angkut' tiga orang anak ke Lumut, Perak ketika dilantik menjadi Ketua Jabatan Logistik di KD PELANDOK.

"Begitu juga ketika dilantik menjadi Pegawai Memerintah Depot Bantuan TLDM dan akhir sekali ketika memegang jawatan Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat (DBAB). Memang semua tugasan itu sangat mencabar, namun saya sematkan di hati selain tekadkan semangat juang tinggi selain berdoa diberi kemudahan sepanjang melaksanakan tugasan di sana," katanya.

Beliau menzahirkan rasa syukur apabila dikurniakan pasangan yang memahami dan tidak putus memberi sokongan terhadap perjalanan kerjayanya sebagai anggota tentera.

ROHANA gemar menimba ilmu dan tidak gentar menyahut cabaran yang sama diberikan kepada pegawai dan anggota lelaki.
ROHANA gemar menimba ilmu dan tidak gentar menyahut cabaran yang sama diberikan kepada pegawai dan anggota lelaki.

Anak kelima daripada sembilan beradik berkata, bapanya seorang petani sementara ibu pula suri rumah tidak pernah menghalang minatnya menyertai tentera.

"Saya minat menjadi 'anggota tentera' sejak sekolah rendah lagi dan apabila adanya iklan pencarian kadet Tentera Laut melalui akhbar Utusan Zaman pada tahun 1984, saya terus pergi ke ujian saringan dijalankan di Ipoh ketika itu.

"Dalam sesi tapisan pemilihan kadet, pemohon kena jalani pelbagai peringkat ujian seperti larian, pengucapan awam dalam bahasa Inggeris dan sesi temu duga.

"Cuma apabila terpilih dan sudah angkat sumpah, tidak boleh berhenti selain perlu menjalani rutin alpha yang uji ketahanan mental dan fizikal kami. Saya adalah pengambilan pegawai wanita TLDM siri ketiga bersama 12 anggota lain menjalani latihan di Fakulti Pegawai KD PELANDOK Pangkalan TLDM Lumut, Perak," katanya.

Kata Rohana, dalam latihan kadet itu juga banyak ilmu ketenteraan laut dipelaj

ari dan pada masa sama pembentukan disiplin termasuklah protokol perlu dipelajari.

"Sebenarnya seronok zaman kadet sebab kita belajar semangat satu pasukan atau

'espirit de corp.' Kekuatan mental dan fizikal ketika latihan perlu ada pada tahap tertinggi," katanya.

Tidak hanya menjalankan tugasan hakiki, Rohana turut aktif dalam sukan dan mewakili pasukan TLDM dan Ang

katan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya ini gemar bersukan sejak dibangku sekolah lagi dan ketika memasuki tentera kegemaran itu diteruskan. Saya mewakili pasukan dalam sukan bola jaring sebagai penjaring gol (GS) serta bermain pada kedudukan pertahanan dalam

pasukan hoki pula," katanya yang pernah mewakili Sukan Malaysia (SUKMA).

Meskipun aktif bersukan, tugas beliau ketika itu sebagai Bendahari Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut Lumut Perak dan seterusnya sebagai Pegawai BAKAT Laut di Kementerian Pertahanan sehingga tahun 2013 dapat dipenuhi dengan penuh dedikasi.

Terbaru, sekali lagi diberi kepercayaan cukup besar dalam National Task Force (NTF) menerusi lantikan sebagai Asisten Ketua Staf Logistik (J4) bermula 25 November 2020 lalu.

Peranan beliau dalam melaksanakan keperluan perolehan aset-aset bagi Ops Benteng. Ops Benteng satu misi penting ketika Malaysia mendepani pandemik Covid-19 iaitu mengekang kehadiran pendatang asing (PATI) menyusup sempadan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 7:00 AM