Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan enam individu termasuk seorang wanita bersama dadah bernilai RM932,288 dalam empat serbuan di Port Dickson dan Melaka, pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak tiga bulan lalu, namun punca bekalan dadah itu masih dalam siasatan pihak polis.

"Mereka yang ditahan berusia 35 hingga 54 tahun itu kecuali wanita Vietnam berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Turut dirampas dalam serbuan itu, sepucuk pistol angin tiruan, satu kelopak peluru dan satu paket plastik lutsinar mengandungi bebola besi, lima kenderaan pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM1,322," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Che Zakaria Othman.

Mohamad berkata, kegiatan itu terbongkar hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta Volkswagen di Jalan Sua Betong Air Kuning, Linggi dalam rondaan cegah jenayah Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, 28 Februari lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 801 gram dan menahan seorang lelaki tempatan.

Susulan itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan menyerbu sebuah resort di Port Dickson dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara Vietnam.

"Dalam serbuan itu, polis merampas syabu dianggarkan bernilai 23.2 kilogram, ketamin (20g), eramin 5 (1g) dan pil ekstasi (1g), sepucuk pistol angin tiruan dan sebutir peluru.

"Susulan itu, polis melakukan serbuan di Alor Gajah dan Tanjung Minyak, Melaka pada hari sama dan tiga lelaki tempatan ditahan, manakala sebuah kereta Proton Wira disita.

"Seorang daripadanya ditahan di sebuah rumah di kawasan Taman Mengkuang, Masjid Tanah dan polis merampas dadah jenis syabu seberat 1.59 kg dan menyita sebuah kereta.

"Sementara, dua lagi lelaki tempatan ditangkap di sebuah rumah di Taman Bertam Perdana, yang mana kita merampas syabu seberat 226.4 g dan ketamin (4.9g)," katanya.

Katanya, ujian saringan mendapati kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kita percaya mereka menjadi resort di Port Dickson itu sebagai stor penyimpanan dadah bagi pengedaran sekitar Negeri Sembilan dan bahagian selatan tanah air.

"Semua suspek direman tujuh hari sehingga 7 Mac ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957." katanya.

MOHAMAD (kanan) menunjukkan barang bukti dalam sidang akhbar rampasan dadah di Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
MOHAMAD (kanan) menunjukkan barang bukti dalam sidang akhbar rampasan dadah di Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 3:04 PM