Do Van So dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 atas tuduhan rasuah. FOTO Asrol Awang
Do Van So dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 atas tuduhan rasuah. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Seorang buruh warga Vietnam dihukum penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana cuba merasuah RM200 kepada seorang anggota polis pada 16 Mei lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas tertuduh, Do Van So, 42 mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan penterjemah Vietnam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM200 kepada anggota polis berpangkat koperal dari Balai Polis Temerloh di bulatan Bukit Angin menghala ke Seberang Temerloh, Temerloh pada jam 9 pagi, 16 Mei lalu.

Ia sebagai dorongan anggota polis itu tidak mengambil tindakan undang-undang yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial yang sah laku sehingga 19 Mac 2020.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dinilai dengan wang atau RM10,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi.

Dalam rayunnya melalui penterjemah, Do memberitahu mahkamah bahawa dia berpisah dengan isterinya dan bertanggungjawab menjaga dua anak mereka yang kini dijaga oleh ibunya berusia 82 tahun.

Do menyesali tindakannya itu dan merayu hukuman minimum supaya boleh kembali ke negaranya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rifah Izzati berkata, tertuduh kini menjalani hukuman penjara empat bulan selepas didakwa mengikut Akta Imigresen dan diperintahkan menjalani hukuman itu mulai tarikh ditangkap pada 16 Mei lalu.

Ahmad Zamzani kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 dan memerintahkan Do menjalani hukuman penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 4:49 PM