Asrol Awang


Kuantan: Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Temerloh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 46 pertuduhan menerima rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM70,600 antara 2019 dan 2023.

Tertuduh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff, 53 memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dua jurubahasa yang mengambil tempoh masa lebih 45 minit di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima benda berharga iaitu wang tunai antara RM100 dan RM5,600 tanpa balasan daripada beberapa individu dan syarikat yang berkaitan dengan tugas rasminya melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaunnya antara Mac 2019 hingga Januari 2023.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di daerah Temerloh ketika bertugas di Ibu Pejabat Polis

Daerah Temerloh dengan pangkat Superintendan dan Asisten Komisioner antara Mac 2019 dan Januari 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh

dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan yang diterima atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Feisal Mohd Azmi memohon jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta tiga syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Pahang, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Ri'fah Izzati Abdul Mutalif.

Manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam dan Najib Zakaria mewakili Azhar.

Sementara itu, Bob memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh berjanji menghadiri mahkamah dan tidak mungkin melarikan diri.

Najib memberitahu mahkamah berikutan pertuduhan itu memohon jaminan RM20,000.

Ahmad Zamzani menetapkan jaminan RM25,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, bermula bulan ini sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 3:17 PM
MOHD Azhar mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan rasuah berjumlah RM70,600 pada 2019 dan 2022 di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang.
MOHD Azhar mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan rasuah berjumlah RM70,600 pada 2019 dan 2022 di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang.