LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Keluarga pasangan warga emas yang maut kerana makan hidangan ikan buntal goreng mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa bertanggungjawab dalam kejadian terbabit.

Menurut Ng Ai Lee, 51, keluarganya turut dinafikan hak untuk mendapatkan laporan toksikologi berkait kematian ibunya, Lim Siew Guan, 83, pada 25 Mac lalu, dan bapanya, Eng Kuai Sin @ Ng Chuan Sing, 84, yang meninggal dunia pada 8 April lalu.

"Melalui peguam, kami sudah cuba meminta laporan toksikologi tetapi ia dinafikan atas alasan ia mesti diluluskan oleh penasihat undang-undang.

"Kami tidak faham hak sebagai waris ke atas mendiang ibu dinafikan untuk mengetahui fakta kematiannya," katanya dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Ai Lee berkata, keluarganya juga kecewa kerana kerajaan didakwa tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penjual ikan berkaitan.

Ini kerana, katanya, pegawai berkaitan sudah membuat kenyataan bahawa undang-undang yang sedia ada mencukupi.

"Oleh itu, kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian ibu bapa kami," katanya.

Menurut Ai Lee, keluarganya turut kecewa kerana janji pihak berkuasa untuk mengemas kini perkembangan siasatan kes itu tidak dikotakan.

"Tidak ada satu mesej (kemas kini) yang diterima sejak kami bertemu (15 Mei lalu) dan (pihak berkuasa) tidak dapat memberikan tempoh masa penyelesaian berakhir," katanya.

Ai Lee turut berharap Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dapat menyegerakan laporan siasatan kes itu sehingga ke peringkat pendakwaan di mahkamah.

"Timbalan Pendakwa Raya Johor diminta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Peraturan Pemasaran Seksyen 23 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281) Seksyen 13 (1)," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, keluarga pasangan warga emas yang meninggal dunia kerana keracunan akibat makan ikan buntal goreng, Mac lalu kesal apabila mendakwa peniaga ikan terbabit masih bebas berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:13 PM