Ikan buntal. FOTO ARKIB NSTP
Ikan buntal. FOTO ARKIB NSTP
Mary Victoria Dass


Muar: "Sebelum menjual ikan buntal, biasanya kami mencuba terlebih dahulu bagi memastikan ia bersih dan selamat," kata seorang penjual ikan buntal yang hanya mahu dikenali sebagai Choon Lee, 30.

Katanya, dia menjual ikan buntal sejak lebih setahun lalu di sebuah pasar dan setakat ini pelanggannya tidak pernah mengalami sebarang keracunan makanan.

Menurutnya, dia memastikan ikan buntal yang dijual sudah dibersihkan supaya tidak membawa sebarang risiko selain hanya menjual jenis yang selamat dimakan.

Katanya, dia tidak menafikan sesetengah ikan buntal berisiko tinggi dan masalah timbul sekiranya nelayan campur-adukkan ikan buntal yang biasa dimakan dengan yang berisiko.

"Dalam setahun, saya hanya menjual ikan buntal sebanyak dua hingga tiga kali dengan harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram.

"Ikan buntal memiliki penggemar sendiri kerana isinya sedap, namun sebelum menjual, kami pastikan kulitnya dibuang dan bahagian dalam dibersihkan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, tragedi menimpa wanita warga emas Sabtu lalu mungkin disebabkan bahagian perut ikan pecah dan racunnya sudah ke bahagian isi.

Dalam pada itu, katanya, larangan penjualan ikan buntal mungkin tidak menjejaskan pendapatan nelayan kerana harganya tidak mahal.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, berkata, isu keracunan ikan buntal bukan menjadi perkara dan Jabatan Perikanan pernah menasihati nelayan supaya tidak makan jenis ikan berkenaan kerana beracun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 4:39 PM