NG bersama mendiang ibu dan bapanya yang kini dirawat di ICU selepas makan ikan buntal. FOTO Ihsan Ng Ai Lee.
NG bersama mendiang ibu dan bapanya yang kini dirawat di ICU selepas makan ikan buntal. FOTO Ihsan Ng Ai Lee.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Keluarga pasangan warga emas yang maut selepas makan ikan buntal goreng berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga dan pembekal ikan beracun itu.

Ng Ai Lee, 51, berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan tragedi berkenaan tidak berulang di masa akan datang, malah ia perlu dijadikan iktibar.

"Saya berharap kerajaan mengambil tindakan tatatertib terhadap penjual dan pembekal ikan buntal yang tidak terkawal supaya tidak ada mangsa lain yang terkorban.

"Semoga tragedi ini dapat mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui.

"Bagi keluarga kami, kita harapkan tindakan (hadap ke) mahkamah dikenakan terutama penjual itu yang merisikokan nyawa orang lain demi kepentingan sendiri," katanya ketika dihubungi.

Ng yang juga anak pasangan itu turut berharap tragedi itu mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, dalam membela nasib ibu bapanya yang menjadi mangsa sikap penjual ikan yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, katanya, jasad mendiang ayahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina di Kampung Chamek, Paloh iaitu lokasi sama dengan mendiang ibunya.

Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom di sini hari ini selepas 15 hari dirawat kerana keracunan ikan buntal.

Ng mengesahkan bapanya yang koma meninggal dunia pada 6.10 pagi. Sebelum itu, ibunya, Lim Siew Guan, 83, meninggal dunia beberapa jam selepas makan ikan goreng itu pada 25 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 2:52 PM