Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham

Chukai: Barisan Nasional (BN) dijangka akan bertanding sebanyak 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki selebihnya pula akan ditandingi Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, pengagihan itu dibuat berdasarkan kemenangan yang diperoleh menerusi pilihan raya umum yang lalu.

"Saya fikir dari segi peratusan itu mungkin dalam 45/55 begitu dari segi peratusan, 45 peratus untuk Barisan Nasional dan 55 peratus untuk PH.

"(Pengagihan) ini berdasarkan kepada kerusi sedia ada yang mereka menangi, maka itu sebabnya peratusan itu lebih kepada parti-parti di dalam komponen PH," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk, Kijal di sini hari ini.

AHMAD Zahid diiringi Ahmad Said  semasa hadir pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal. FOTO Ghazali Kori.
AHMAD Zahid diiringi Ahmad Said semasa hadir pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal. FOTO Ghazali Kori.

Beliau berkata, menerusi jumlah itu, BN dijangka bertanding lebih 100 kerusi Dun.

Katanya, pengagihan kerusi di keenam-enam negeri itu akan dimuktamadkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan.

"Insya-Allah, minggu depan bagi seluruh ke enam-enam negeri ini untuk kita muktamadkan (dan) dulu diberitakan ada sembilan kawasan yang bertindih tetapi kita dapat menyelesaikannya.

"Insya-Allah, selepas ini kita akan selesaikan pula tentang calon-calon bagi kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH.

"Biro politik mengambil keputusan bahawa setiap Dun, perhubungan negeri akan mengemukakan sekurang-kurangnya tiga orang calon untuk disenarai pendek bagi tiap-tiap kerusi Dun yang akan ditandingi nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:10 PM