Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Umno Terengganu menafikan dakwaan kononnya parti itu akan memprotes calon Pakatan Harapan (PH) yang diletakkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan semua jentera parti di Terengganu akan memberi sokongan dan bekerjasama dengan PH di semua peringkat.

"Setakat ini, saya tak dengar cerita pun (dan) memang kerjasama sudah di peringkat pusat, (jadi kita di negeri akan) kerjasama demi kestabilan negara kita, negeri kita.

"(Sekarang ini) politik dinamik bukan politik mati, sebab itu orang kata tidak ada musuh berkekalan, kawan berkekalan dalam politik," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketengah di Pekarangan Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Ketengah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya jentera Umno Terengganu dikatakan akan memprotes dan tidak mahu menerima calon PH.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi antara Umno dan PH di Terengganu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dilakukan, namun keputusan belum dibuat lagi.

"Kita sudah bincang tetapi keputusan tak buat lagiā€¦ kita pinang anak orang pun kita boleh tawar-menawar," katanya.

Sebelum ini, PH Terengganu dikatakan bakal bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRN tidak lama lagi.

Kesemua kerusi yang ditandingi PH membabitkan gabungan PKR dan Amanah adalah kawasan yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Difahamkan antara kerusi Dun yang bakal ditandingi PH adalah Chukai, Kemasik, Sura, Rantau Abang, Rhu Rendang, Alor Limbat,Bandar, Batu Buruk, Manir, Buluh Gading, Kota Putera dan Jabi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 3:16 PM
AHMAD Said (tengah) bergambar dan beramah mesra bersama tetamu pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketengah di Ibu Pejabat Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Said (tengah) bergambar dan beramah mesra bersama tetamu pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketengah di Ibu Pejabat Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun. FOTO Ghazali Kori