Rosli Ilham

Kemaman: Pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti diminta tidak tertipu lagi dengan parti Pas yang penuh dengan muslihat dan penipuan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, politik sedemikian yang dibawa pimpinan Pas sehingga memenangkan parti itu perlu ditolak dan tidak boleh dibiarkan.

Menurutnya, pemimpin dan ahli parti diminta mematahkan muslihat dan penipuan itu demi mengembalikan semula kemenangan BN dan parti kerajaan perpaduan pada PRN nanti.

"Pengorbanan yang kita BN lakukan selama ini bertumpu pada politik pembangunan, tetapi politik yang dilakukan parti sebelah sana itu adalah penipuan dan penuh muslihat.

"Akhirnya penipuan yang dirancang itu membawa kemenangan dan pembangunan yang kita buat selama ini dilupakan," katanya selepas merasmikan Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid semasa sidang media pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Zahid semasa sidang media pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal. FOTO GHAZALI KORI

Ahmad Zahid berkata, penjelasan perlu dilakukan BN bagi menyedarkan pengundi yang akan mengundi pada PRN di enam negeri nanti bagi mengelak rakyat terus tertipu dengan penipuan itu.

"Mereka bukan sekadar memberi penjelasan penipuan dan muslihat, mereka turut menggunakan ayat al-Quran dan hadis yang sama terjemahannya tapi taksiran yang berbeza-beza.

"Panjang akal mereka penuh dengan muslihat dan penipuan. Oleh itu rakyat Terengganu cukuplah ditipu golongan ini," katanya.

Menurutnya, rakyat khususnya golongan muda perlu membaca sejarah dan pengorbanan dan pelbagai usaha yang dilakukan Umno dan kerajaan BN.

"Bagaimanapun, semua itu dilupa oleh rakyat dan diketepikan oleh pengundi muda kerana mereka terpengaruh dengan politik yang penuh dengan penipuan dan muslihat itu.

"Mereka cepat lupa dengan semua pembangunan yang ada ketika ini adalah daripada usaha, pengorbanan fizikal, wang ringgit dan tenaga yang dilakukan BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:09 PM