ABDULLAH dalam gotong royong ibadah korban pada hari raya pertama Aidiladha di tapak berhampiran Pasar Borong Selayang. FOTO Hazreen Mohamad
ABDULLAH dalam gotong royong ibadah korban pada hari raya pertama Aidiladha di tapak berhampiran Pasar Borong Selayang. FOTO Hazreen Mohamad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Seorang warga Myanmar yang beragama Islam mendedahkan dia mengumpul duit selama setahun bagi mengerjakan ibadah korban, hari ini.

Peniaga sayur Mohd Abdullah, 36, berkata, pada tahun ini, dia berjaya mengumpul duit sebanyak RM10,000 yang digunakannya bagi membeli seekor lembu untuk tujuan korban.

"Tahun ini saya membeli seekor lembu berharga RM10,000 hasil duit yang saya kumpul selama setahun. Duit ini saya kumpul setiap hari.

"Sebagai contoh, kalau saya memperoleh gaji RM60 sehari, saya akan simpan RM10. Tetapi kalau jumlah gaji sehari yang saya peroleh lebih daripada itu, banyaklah yang saya simpan di dalam tabung.

"Sebulan sebelum Hari Raya Aidiladha, saya pecahkan tabung dan mengira jumlah simpanan saya itu. Macam tahun ini simpanan saya berjumlah RM10,000," katanya ketika ditemui di program korban anjuran Humanitarian Aid Selangor dan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) di Pinggiran Kampung Selayang Lama, di sini, hari ini.

Dianggarkan lebih 100 orang melibatkan warga Myanmar beragama Islam, pelarian Rohingya dan rakyat tempatan menyertai ibadah korban membabitkan 80 lembu itu.

Ketua Komuniti Humanitarian Aid Selangor Rafik Shah Mohd Ismail berkata, beliau bangga kerana rakyat tempatan dapat bersama-sama warga Myanmar serta pelarian Rohingya dalam penganjuran ibadah korban itu.

"Sejak seminggu ini, kami lihat satu hubungan yang begitu erat. Semoga adanya program seperti ini kita dapat eratkan hubungan saudara Islam," katanya.

Setiausaha Kehormat Ikiam Razali Latif berkata, harga seekor lembu korban dalam program ini antara RM8,000 hingga RM18,000.

Katanya, keseluruhan harga lembu pada program ibadah korban ini dianggarkan lebih RM500,000.

Menurutnya, masyarakat Islam di negara ini boleh mencontohi warga Myanmar dan pelarian Rohingya yang mengumpul duit selama setahun bagi mengerjakan ibadah korban.

"Ini satu perkara yang masyarakat Melayu khususnya kena belajar daripada mereka. Mereka telah menabung selama setahun bagi mengerjakan ibadah korban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:32 PM