Alias Abd Rani

Muar: Seorang buruh yang baru selesai menjalani hukuman penjara berkaitan kes dadah, sekali lagi disumbat ke dalam penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencekik leher isterinya, minggu lalu.

Chin Tong Choi, 44, berhadapan dua pertuduhan termasuk air kencing positif dadah jenis, dijatuhi hukuman penjara 17 bulan bagi kedua-dua pertuduhan selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 42 tahun dengan kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Jalan Bakri di sini, 12.50 tengah hari, 7 Februari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) yang dibaca bersama Seksyen 39B akta sama, kerana menggunakan methamphetamin dan amphetamin.

Berdasarkan fakta kes, berlaku perselisihan antara tertuduh dengan isterinya kerana menuduh wanita itu mempunyai lelaki lain.

Kemuncaknya apabila tertuduh hilang pertimbangan lalu mencekik leher isterinya sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Muar.

Tong Choi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas dipenjara 11 bulan kerana mencekik leher isterinya. FOTO Alias Abd Rani
Tong Choi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas dipenjara 11 bulan kerana mencekik leher isterinya. FOTO Alias Abd Rani

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki manakala tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi kes mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Bagi kes dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta pengawasan polis selama dua tahun.

Mahkamah juga memutuskan hukuman pemenjaraan bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 12 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 1:42 PM