Muhd Rizal (duduk kiri) bersama durian Damak King pada
Muhd Rizal (duduk kiri) bersama durian Damak King pada
Mohd Rafi Mamat


Jerantut: Jabatan Pertanian Pahang menggalakkan pekebun menanam durian kampung premium Damak King yang mempunyai rasa dan ciri tidak jauh berbeza dengan durian berkualiti tinggi seperti Musang King.

Pengarahnya Muhd Rizal Baharom berkata, durian klon itu sebelum ini lebih dikenali dengan nama Tok Merah dan dipercayai berasal dari Johor sebelum ditanam di Kampung Damak, dekat sini.

Menurutnya, jenama durian Damak King sudah didaftarkan pada tahun lalu dalam usaha meletakkannya sebaris durian klon lain seperti Musang King, IOI, D24, Duri Hitam, Kunyit, Udang Merah, Kasak Merah dan Tupai King.

"Warna isinya jingga kemerahan, rasa sedap dan bentuk buah yang menarik (bulat dan bujur) menjadi tarikan utama durian Damak King menyebabkan permintaannya kini begitu menggalakkan.

"Pekebun yang memiliki pokok durian Damak King mampu meraih pendapatan lumayan setiap kali musim durian kerana ia mampu dijual pada harga antara RM30 hingga RM45 sekilogram (kg)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Semanis Rasa Raja Buah di Kampung Damak, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya sedang mempromosi durian Damak King untuk menembusi pasaran antarabangsa terutama Singapura dan China iaitu sama seperti yang berlaku pada Musang King.

Katanya, bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa, usaha sedang dilakukan untuk menambah bilangan pokok durian Damak King.

"Saya difahamkan kini terdapat kira-kira 40 pokok durian Damak King dewasa di Kampung Damak, malah pekebun di kampung ini mula menanam dalam skala besar berikutan permintaan menggalakkan," katanya.

Sementara itu, pekebun, Awang Ahmad Jusof, 74, berkata dia mempunyai lima pokok durian Damak King yang berusia 33 tahun dan setiap tahun mengeluarkan hasil.

"Permintaan terhadap durian Damak King begitu menggalakkan walaupun dijual dengan harga antara RM30 hingga RM45 setiap kg.

"Ramai penggemar durian yang datang ke Kampung Damak pasti akan mencari durian ini dan akan menempah terlebih dahulu sebelum datang," katanya yang memiliki kebun durian seluas 2.8 hektar di Kampung Damak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 11:51 AM