RAZIT (kiri) dan Nurul Marlinda sanggup menghabiskan duit demi nikmati Musang King.
RAZIT (kiri) dan Nurul Marlinda sanggup menghabiskan duit demi nikmati Musang King.
Redzuan Muharam


"KEBIASAANNYA, saya akan pergi ke merata negeri untuk merasai Musang King dan ia sudah menjadi rutin tahunan," kata penggemar durian D197 atau Musang King, Razit Mohamad.

Razit, 58, yang menetap di Jalan Reko, Kajang berkata, jelajah mencari Musang King itu sudah menjadi aktiviti wajib setiap kali musim durian.

Katanya, kombinasi rasa manis berlemak dan pahit yang menyebabkannya 'jatuh cinta' dan tidak akan ketinggalan merasai buah kegemaran ramai itu.

"Sebab utama saya menggemari Musang King adalah kerana cirinya yang berbeza daripada buah durian lain iaitu rasanya lebih sedap, tekstur dan warna menarik dan isinya yang banyak.

"Rasanya, ia berbaloi dengan harga ditawarkan malah saya jadikan Musang King sebagai penanda aras sebelum menanam pokok lain di kebun terletak di Pontian, Johor.

"Namun, saya akui tidak semua durian Musang King yang saya makan sedap kerana ada yang biasa saja dan kalah daripada segi rasanya dengan durian kampung. Banyak faktor mempengaruhi rasanya iaitu faktor geografi, baja dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Razit, dia bercadang untuk mengadakan misi jelajahnya dalam waktu terdekat untuk mencari dan merasai durian Musang King.

"Dalam dua atau tiga hari lagi, saya akan ke utara tanah air dan singgah di dua atau tiga kebun untuk menikmati Musang King.

"Jadi, saya dapat buat perbandingan rasa Musang King daripada satu tempat dengan yang lain seperti tahun sebelumnya," katanya yang juga pesara.

Seorang lagi penggemar, Nurul Marlinda Mohd Nasir, 31, menyifatkan durian Musang King paling sedap berbanding IOI atau Udang Merah.

Meskipun ada yang menganggap harganya keterlaluan, Nurul Marlinda berkata, itulah harga perlu dibayar untuk menikmati raja buah itu.

"Saya memang 'hantu' durian terutama Musang King hingga pantang nampak kerana pasti akan membelinya tetapi mengikut kemampuan juga lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi seperti sekarang.

"Walaupun terpaksa bayar RM120 hingga RM150 untuk sebiji tetapi saya rasa berbaloi kerana rasanya sedap, makan sebiji pun sudah puas.

"Sebagai penggemar durian Musang King, sudah tentu rasa pahit, isi tebal, warna , tekstur dan bau yang membangkitkan nafsu untuk menikmatinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 6:30 PM