GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Mesyuarat antara pemimpin Kerajaan Perpaduan malam tadi, masih gagal memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Bagaimanapun, jumlah kerusi yang bertindih antara dua gabungan itu dapat dikurangkan selepas perbincangan selama kira-kira tiga jam di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abd Samad.

"Jumlah kerusi yang bertindih dikurangkan. Bagi yang masih bertindih, serah kepada Majlis Presiden (PH) (untuk diputuskan)," katanya kepada BH, hari ini, tanpa memperincikan jumlah kerusi yang masih bertindih.

Malam tadi, pemimpin Kerajaan Perpaduan bermesyuarat di Menara Dato' Onn, dipercayai bagi rundingan akhir pembahagian kerusi antara PH dan BN untuk PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, tiada kenyataan yang dikeluarkan pemimpin yang hadir berhubung hasil mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha PH Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata, rundingan bagi pembahagian kerusi di Selangor berjalan lancar dan hampir selesai.

Beliau berkata, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari akan memaklumkan mengenai perincian agihan kerusi berkenaan selepas dimuktamadkan sepenuhnya kelak.

"Setakat ini, yang ada hanya konsensus di peringkat negeri. Kuasa memuktamad kerusi hanya ada pada Majlis Presiden," katanya.

Ahad lalu, Amirudin berkata, terdapat tiga daripada 56 kerusi DUN Selangor masih belum diputuskan kerana berlaku pertindihan permintaan daripada PH dan BN di kerusi terbabit.

Setakat ini, tiga negeri sudah mengumumkan mengenai pembubaran DUN, iaitu Pulau Pinang pada 28 Jun ini, Negeri Sembilan (30 Jun) dan Kelantan (22 Jun), manakala Kedah akan mencadangkan pembubaran pada 28 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 3:02 PM