MUHAMMAD Ikhwan bersama mesin oksigen yang pernah digunakan arwah bapanya, Ibrahim Abdullah .FOTO Ihsan Muhammad Ikhwan Ibrahim
MUHAMMAD Ikhwan bersama mesin oksigen yang pernah digunakan arwah bapanya, Ibrahim Abdullah .FOTO Ihsan Muhammad Ikhwan Ibrahim
Redzuan Muharam


Kangar: "Niat saya membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik dan berkongsi pahala dengan emak ayah, itu saja," luah kontraktor, Muhammad Ikhwan Ibrahim.

Muhammad Ikhwan Ibrahim, 33, yang juga bapa lima anak mendapat perhatian selepas meluahkan keinginannya untuk meminjamkan tiga mesin oksigen kepada pesakit kurang berkemampuan dan terlantar.

Perkongsian itu dibuat menerusi hebahan di Facebook (Fb) dan TikTok hingga mendapat banyak reaksi positif dengan rata-rata netizen memuji usaha Muhammad Ikhwan.

Bercerita lanjut, Muhammad Ikhwan berkata, mesin itu pernah digunakan ketika hayat bapanya, Ibrahim Abdullah sebelum meninggal dunia dua tahun lalu.

Selepas pemergian bapanya, mesin berkenaan terbiar di rumah pusaka keluarga dan ia memberi idea untuknya memanfaatkan peralatan itu bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

"Arwah ayah dulu ada sakit kronik iaitu penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) (penyakit kronik sistem pernafasan) tahap empat yang menyebabkannya terlantar serta bergantung dengan mesin oksigen.

"Selama 10 tahun saya tinggal dengan emak ayah dan menjaga mereka.

"Selepas ketiadaan ayah, saya bawa emak (Rosnawati Che Ros, 67) tinggal bersama isteri dan anak, namun rumah pusaka itu masih dijaga dengan membersihkannya sekali sekala atau mengupah orang untuk melakukannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Isnin lalu, Muhammad Ikhwan balik ke rumah pusaka dan ternampak mesin berkenaan menyebabkan dia terdetik untuk meminjamkannya kepada yang memerlukan.

"Dengan cara itu, ada yang dapat manfaat sekali gus beri peluang kepada saya untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Selepas buat hebahan di laman sosial, ramai yang hantar kiriman mesej nyatakan minat untuk dapatkan mesin itu.

"Bagaimanapun, saya perlu lihat dulu sejauh mana keperluan individu terbabit kerana keutamaan kepada pesakit terlantar dan yang betul-betul kurang berkemampuan," katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Muhammad Ikhwan berharap, peralatan itu nanti diberi kepada yang individu yang benar-benar memerlukan.

Katanya, dia juga akan menyerahkan sendiri mesin berkenaan kepada penerimanya bagi mengajar mereka mengendalikan mesin berkenaan.

"Tiada apa yang dipinta atau syarat daripada saya.

"Cukup sekadar mendoakan ibu bapa serta seluruh ahli keluarga saya supaya berjaya di dunia dan akhirat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 3:42 PM