Hazira Ahmad Zaidi

Tanah Merah: Meskipun sudah bersara sejak lebih 31 tahun lalu, seorang bekas tentera tetap mahu menabur jasa kepada masyarakat dengan cara tersendiri sebagai penderma darah.

Muhammad Nasir Mustapha, 62, berkata dia mula menderma darah pada 1986 ketika dalam perkhidmatan dan sejak itu tidak pernah melepaskan peluang berkenaan.

Menurutnya, amalan menderma darah menjadi rutin hidupnya kerana ia bukan hanya baik untuk kesihatan, malah memberi kepuasan apabila dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Setakat ini saya sudah menderma darah 100 kali dan ia dilakukan secara sukarela, bukannya disebabkan 'mengejar' anugerah atau penghargaan daripada sesiapa.

"Kadang-kadang kalau tidak pergi menderma darah, saya berasa seolah-olah berhutang, tidak selesa dan seperti 'ketagih' untuk menderma darah.

"Boleh dikatakan dalam setahun, saya akan menderma darah sebanyak tiga atau empat kali dan bergantung kepada kesihatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 11, di sini.

Muhammad Nasir melihat sijil perhargaan  dan pingat yang diterimanya menderma darah ketika masih berkhidmat sebagai anggota tentera. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhammad Nasir melihat sijil perhargaan dan pingat yang diterimanya menderma darah ketika masih berkhidmat sebagai anggota tentera. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pemilik darah jenis O ini berkata, biarpun berusia, berkat aktiviti menderma darah membuatkan dia tidak menghidapi penyakit kronik.

Menurutnya, dia juga berhasrat menderma darah sehingga akhir hayat sebagai sumbangan ikhlas dan secara tidak langsung dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Alhamdulillah, saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini, sekali gus membolehkan saya memberikan khidmat atau amal jariah kepada anggota masyarakat dengan menderma darah.

"Generasi masa kini tidak perlu bimbang untuk menderma darah kerana banyak manfaatnya kepada diri serta individu memerlukan," katanya bapa kepada empat anak berusia 25 hingga 39 tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 3:07 PM