Jalil Hamid.
Jalil Hamid.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Jalil Hamid, 66, yang disahkan mengalami masalah jantung sebelum ini, kini banyak menghabiskan masa berehat di rumah.

Menerusi TikTok peribadinya @AyahJalilHamid, pelakon versatil terbabit meminta peminat agar sentiasa mendoakan kesihatannya.

"Masih ada yang rindu dengan lakonan Ayah? Ayah sekarang banyak luangkan masa bersama keluarga...," tulisnya dalam keterangan video.

Video terbabit memaparkan aktiviti Jalil bersama keluarga serta gambarnya ketika menerima rawatan di hospital.

Terdahulu, Jalil dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, pada awal Mac lalu akibat masalah jantung yang dihadapinya.

Jalil mengalami masalah pernafasan sebelum dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan.

Dia bagaimanapun memilih pulang ke rumah pada 7 Mac bagi memberikan ruang kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Kalau nak ikutkan, saya masih lagi perlu dirawat di hospital. Tapi, saya kasihan melihat pesakit-pesakit yang lebih teruk keadaan mereka. Jadi, saya minta untuk dibenarkan pulang dan berehat di rumah.

"Kasihan saya lihat apabila ada sesetengah pesakit yang tak dapat katil. Ada yang perlu menunggu sehingga empat ke lima hari untuk mendapat katil. Bahkan, ada yang sampai terpaksa berbaring di laluan. Saya beritahu hospital, tak mengapa saya mengalah," katanya.

Di hospital, doktor menjalankan beberapa ujian termasuklah ujian darah. Di rumah, dia memerlukan oksigen dan tahap oksigen juga perlu dipantau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 3:11 PM