Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia diramal tidak akan menghadapi suhu ekstrem melebihi 38 darjah celcius dari Jun hingga Disember ini.

Namun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata masih terdapat kemungkinan negara akan mengalami suhu sedikit lebih tinggi daripada biasa dengan peningkatan antara 0.5 darjah celcius sehingga 1 darjah celcius.

"Negara dijangka akan mengalami fenomena El-Nino lemah bermula bulan ini dan meningkat ke tahap sederhana pada November 2023 dan dijangka akan mengakibatkan jumlah hujan 20 peratus hingga 40 peratus pada Jun hingga Oktober ini terutamanya di selatan Semenanjung, barat Sarawak serta timur Sabah.

"Kelaziman monsun Barat Daya adalah tiupan angin secara konsisten dari arah Barat Daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.

"Keadaan itu akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini dan mengakibatkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan melalui taburan hujan yang lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan berhubung fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, cuaca ekstrem memberi risiko kemarau, jerebu dan memberi kesan kepada tahap kesihatan terutamanya risiko strok haba yang turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

"Sejak Januari hingga Mei 2023, bacaan suhu harian maksimum tertinggi yang direkodkan adalah 38.6 darjah celcius di Raub, Pahang.

"Sepanjang tempoh itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan pemakluman secara harian bagi memaklumkan kepada rakyat tentang keadaan semasa terutamanya kawasan yang berada dalam tahap berjaga-jaga," katanya.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Nik Nazmi, berkata sehingga Isnin lalu, data terkini menunjukkan hanya Bentong, Pahang berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum 35 sehingga 37 darjah celcius selama tiga hari berturut-turut.

Katanya, selain tahap normal dan berjaga-jaga, kriteria cuaca panas turut terbahagi kepada tahap dua, iaitu berstatus gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah celcius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dan tahap tiga (gelombang haba ekstrem) yang mana suhu harian melebihi 40 darjah celcius.

Selain itu juga, katanya, masih terdapat kemungkinan hujan lebat berserta ribut petir berikutan fenomena garis badai yang masih boleh berlaku di pantai Barat Semenanjung dan Barat Sabah terutama pada awal pagi.

"Bagi bulan Jun kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka akan menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 50 milimeter (mm) sehingga 150 mm kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Utara Perak, Kelantan dan Terengganu yang dijangka menerima hujan pada paras purata 50 hingga 300 mm," katanya.

Nik Nazmi berkata, negara dijangka berada dalam fasa akhir monsun Barat Daya pada September 2023 dengan jangkaan peningkatan hujan dikebanyakkan negeri di Semenanjung dengan taburan purata hujan pada paras 100 hingga 400 mm.

Katanya, situasi pembakaran terbuka di seluruh negara adalah dalam keadaan terkawal dengan 1,800 aduan dengan 80 peratus membabitkan pembakaran sampah sarap.

"Terdapat lima kes pembakaran terbuka besar di Semenanjung yang menyebabkan jerebu setempat membabitkan tiga kes pembakaran tanah gambut dan dua di tapak pelupusan sampah," katanya.

Katanya, secara keseluruhan terdapat 352 loji rawatan air yang sedang beroperasi pada tahap normal bergantung. kepada ketersediaan sumber air mentah.

"Sehingga hujung tahun 2022, Pulau Pinang dan Terengganu merekodkan tahap rizab margin air pada kadar selesa melebihi 20 peratus manakala Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Labuan berada pada kadar rizab margin sederhana iaitu 10 hingga 20 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 2:27 PM