Ali Abdullah, 62, menangkap ikan di tali air Kampung Budi, Mukim Jeram, Jitra yang hampir kering akibat cuaca panas ketika ini. FOTO Amran Hamid
Ali Abdullah, 62, menangkap ikan di tali air Kampung Budi, Mukim Jeram, Jitra yang hampir kering akibat cuaca panas ketika ini. FOTO Amran Hamid
Irwan Shafrizan Ismail dan Noor Atiqah Sulaiman


SUHU maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius akan dialami 10 kawasan di Semenanjung selama tiga hari berturut-turut yang dikategorikan pada tahap satu iaitu dalam fasa berjaga-jaga.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) 11 pagi hari ini menyatakan antara kawasan yang disenaraikan adalah di Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak).

Kawasan lain yang turut disenaraikan ialah di Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor).

Bagi kawasan yang tidak berada pada tahap satu, suhu harian maksimum bagi kawasan berkenaan di bawah 35 celcius.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat berwaspada terhadap tanda awal strok haba berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Katanya, strok haba berlaku apabila paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 celcius berbanding suhu normal badan manusia 37 celcius.

“Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi pantas.

“Tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

“Suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu sawan, koma dan boleh membawa kematian,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan sepanjang Februari hingga Mac, kebanyakan tempat di Semenanjung dijangka menerima cuaca agak kering dengan jumlah taburan hujan kurang daripada 150 mm.

Bagi Perlis, selatan Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula dijangka menerima jumlah hujan bulanan yang sedikit berkurangan berbanding purata hujan jangka panjang.

“Di Sarawak iaitu di Kuching dan Samarahan dijangka menerima hujan sedikit melebihi paras purata di antara 600 mm hingga 700 mm. \

“Bahagian lain di Sarawak dijangka menerima curahan hujan pada paras purata di antara 200 mm hingga 350 mm kecuali di Miri iaitu menerima hujan kurang dari 200 mm.

“Bagi Sabah, kebanyakan bahagian dijangka menerima hujan sedikit kurang berbanding paras purata. Bahagian Kudat dianggarkan menerima jumlah sekitar 100 mm hingga 150 mm,” katanya.

Sandakan pula dijangka menerima hujan antara 150mm hingga 200mm; Tawau, Pedalaman, Pantai Barat, serta Labuan pula dianggarkan menerima hujan kurang daripada 100mm.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 5:54 PM