Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata cuaca panas itu membabitkan semua negeri namun yang paling terasa adalah negeri di Utara dan Pantai Timur.

"Kawasan di Utara lebih teruk dan paling ketara dengan ada kawasan bersempadan dengan Thailand mencecah suhu lebih 37 darjah celcius.

"Kita jangkakan keadaan ini berlarutan sehingga Ogos kerana peralihan monsun. Selepas Ogos dijangka kembali hujan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 70 asnaf di sini, hari ini.

Terdahulu, daerah Jeli merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, bermula semalam.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, 15 kawasan lain di Semenanjung pula berada pada tahap satu iaitu pada kategori berjaga-jaga.

Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi berkata, susulan musim panas yang berpanjangan tanpa hujan akan menyebabkan beberapa kawasan dilanda masalah jerebu.

"Beberapa kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat termasuk Tanah Merah dan Cheras.

"Bila cuaca panas kebakaran hutan terutama kawasan tanah gambut mudah berlaku yang boleh menyumbang kepada masalah jerebu lebih teruk.

"Untuk mengekang masalah itu, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi membabitkan beberapa kementerian bagi memantau pembakaran terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 4:26 PM
NIK Nazmi pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada  kepada 70 asnaf, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NIK Nazmi pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada kepada 70 asnaf, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR