Beting pasir kelihatan di pesisir Sungai Pahang semalam menunjukkan pengurangan paras air sungai berikutan cuaca panas. FOTO Farizul Hafiz Awang
Beting pasir kelihatan di pesisir Sungai Pahang semalam menunjukkan pengurangan paras air sungai berikutan cuaca panas. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mahaizura Abd Malik


STESEN meteorologi utama merekodkan 11 kawasan di Semenanjung mengalami gelombang haba tahap satu, kategori fasa berjaga-jaga berikutan menerima suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Kawasan terbabit ialah Chuping, Perlis diikuti Kota Setar, Pendang dan Sik, Kedah serta Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan.

Turut disenaraikan dalam kategori itu ialah Hulu Perak dan Kinta, Perak; Jerantut, Pahang serta Tangkak, Johor.

Mengulas status gelombang haba terkini, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geo Fizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Hisham Mohd Anip berkata, orang ramai tidak perlu panik berikutan keadaan suhu panas ini dijangka beransur pulih bermula April ini berikutan fasa peralihan Monsun Timur Laut kepada Barat Daya yang membawa lebih banyak hujan ke seluruh negara.

“Keadaan El Nino lemah tidak memberi kesan ketara kepada suhu negara dan dijangka tiada cuaca panas luar biasa berlaku tahun ini seperti episod El Nino kuat yang pernah melanda negara pada 2016 dan 1998.

“Setakat ini, hanya Chuping mengalami suhu gelombang haba tahap dua dengan rekod bacaan suhu maksimum 38 darjah Celsius pada 19 Mac lalu berbanding 40.1 darjah Celsius pernah direkodkan pada 9 April 1998.

“Kini hanya tinggal 11 kawasan berada tahap satu dan kita jangka jumlahnya berkurangan selepas ini apabila cuaca kembali normal,” katanya hari ini.

Katanya, keadaan cuaca ini juga dipengaruhi faktor kedudukan matahari tegak di atas garisan khatulistiwa berikutan ia sebahagian daripada proses peralihan matahari mengikut musim.

“Bermula semalam, kita sudah melepasi fasa ekuinoks yang mana negara menerima pancaran matahari maksimum di beberapa kawasan jika tanpa litupan awan yang menyebabkan peningkatan suhu panas.

“Sekarang sedang berlaku peralihan matahari daripada atmosfera selatan ke atmosfera utara yang menyebabkan kebanyakan kawasan semalam menerima hujan.

“Namun dalam dua hari ini kita jangka sekali lagi negeri di utara akan menerima suhu maksimum 38 darjah Celsius manakala negeri lain antara 35 hingga 36 darjah Celsius,” katanya.

Untuk rekod suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius adalah dikategorikan sebagai normal manakala tahap satu (berjaga-jaga) pula suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari.

Selain itu, tahap dua bagi suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius dalam tiga hari berturut-turut dan tahap ketiga (kecemasan) suhu maksimum melebihi 40 darjah Celsius tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, kualiti udara di seluruh negara bertambah baik apabila semua kawasan mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tahap sederhana dan baik seperti dipaparkan dalam Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia serta melayari http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui status IPU semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:01 PM