PELANCONG menyejukkan diri di air pancut di sebuah dataran di Seville, selatan Sepanyol. FOTO Reuters
PELANCONG menyejukkan diri di air pancut di sebuah dataran di Seville, selatan Sepanyol. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Sepanyol dan Portugal dilanda gelombang panas kedua dalam tempoh sebulan, dengan suhu panas terik dijangka berlaku di Perancis dan United Kingdom, dalam beberapa hari akan datang.

Agensi Meteorologi (Aemet) Sepanyol berkata, penduduk di pusat bandar Candeleda akan berdepan suhu mencecah 43.3 darjah Celsius selepas 6 petang.

Suhu mencecah 42.4 darjah Celcius pula di bandar selatan Seville.

Bandar barat daya Badajoz dan Merida juga menyaksikan suhu 42 darjah Celcius.

Aemet meramalkan 46 darjah Celcius di Badajoz pada Khamis dan Jumaat, dengan Seville diramalkan mengalami suhu panas pada 45 darjah Celcius pada Rabu dan Khamis.

"Gelombang haba ini benar-benar berpotensi untuk menjadi luar biasa.

"Lonjakan suhu semasa bermula Ahad dan boleh berlanjutan selama sembilan atau 10 hari, yang akan menjadikannya salah satu daripada tiga gelombang haba terpanjang yang pernah dilihat Sepanyol sejak 1975," kata jurucakap Aemet, Ruben del Campom kepada AFP.

Sementara itu, saintis berkata, gelombang haba menjadi lebih kerap disebabkan oleh perubahan iklim.

Apabila suhu global meningkat dari semasa ke semasa, gelombang haba dijangka menjadi lebih sengit.

Jun menyaksikan Sepanyol bergelut dengan suhu melebihi 40 darjah Celcius di kawasan negara itu.

Bulan sebelumnya iaitu Mei pula merekodkan suhu terpanas di Sepanyol sejak awal abad ini.

Ogos tahun lalu, Sepanyol mencatatkan suhu tertinggi hingga 47.4 Celcius di bandar kecil Montoro di selatan.

Pakar meteorologi tidak menolak prospek rekod itu dipecahkan dalam beberapa hari akan datang.

Suhu yang meningkat juga disertai dengan kekurangan hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 11:14 AM