Timbalan Ketua Polis IPD Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas pada majlis pelupusan barang kes kontraban, bitcoin, perjudian, barang am dan berharga di Balai Polis Kapar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Timbalan Ketua Polis IPD Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas pada majlis pelupusan barang kes kontraban, bitcoin, perjudian, barang am dan berharga di Balai Polis Kapar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Ruwaida Md Zain


Klang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berjaya menyelesaikan 402 pelbagai kes jenayah termasuk kegiatan judi, kontraban, samun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, hasil kejayaan itu, pihaknya melupuskan 5,220 barang kes membabitkan 2021 hingga 2023 dengan nilai keseluruhan RM1.58 juta.

"Hari ini, kita melupuskan 1,156 barang kes perjudian membabitkan 146 kertas siasatan, 3,285 barang kes kontraban (12 kertas siasatan), 518 barang kes am termasuk pelbagai senjata (84 kertas siasatan), 261 barang kes bitcoin (dua kertas siasatan).

"Manakala barang kes bagi kategori barang berharga, ia membabitkan wang RM66,904 yang juga hasil 158 kertas siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes IPD Klang Utara di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.

"Barang kes seperti mesin bitcoin dilupuskan dengan cara menghancurkannya secara manual. Bagi minuman keras pula, cecair akan diasingkan secara kimia dan dilupuskan secara pemeruapan, manakala botol dan tin dikitar semula.

"Bagi rokok, kesemuanya akan dibakar dalam kebuk pembakaran. Sementara wang diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia.

"Proses pelupusan dilaksanakan syarikat Pandamaran Jaya Motor, Pelabuhan Klang yang sudah diberikan pensijilan dan kebenaran untuk melakukan pelupusan aset-aset kerajaan ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:18 PM