BARANG kes dilupus di IPD Cheras. FOTO Halim Salleh
BARANG kes dilupus di IPD Cheras. FOTO Halim Salleh
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis melupuskan 2,236 peralatan perjudian, pelacuran dan rokok tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di sekitar daerah Cheras bernilai RM150,000, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, semua barang kes yang dilupuskan itu membabitkan 86 kertas siasatan jenayah yang dibuka pihaknya sebelum ini.

"Antara yang dilupuskan hari ini membabitkan adalah unit pemprosesan komputer (CPU), komputer, pelincir, tuala dan rokok.

"Semua barangan ini dirampas menerusi pelbagai operasi yang dijalankan pada tahun 2019 dan 2020," katanya pada sidang media di Balai Polis Alam Damai, di sini, hari ini.

Idzam berkata, daripada 86 kertas siasatan itu, 72 sudah didakwa dan bakinya masih dalam siasatan.

"Pelupusan barang itu dilakukan selepas semua kertas siasatan sudah berjaya dituduh dan dijatuhkan hukum oleh pihak mahkamah selain tiada tindakan lanjut.

"Proses melupuskan barang ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya lambakan serta kesesakan bagi kes yang sudah selesai," katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti membabitkan jenayah perjudian dan pelacuran.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah berkenaan dengan menghubungi mana-mana Ketua Polis Balai atau menerusi bilik gerakan IPD Cheras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 1:30 PM